fbpx

Hujan lebat sehari menyamai dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Kampung Sungai Perdak, Karak di Bentong yang dilanda kejadian kepala air dan banjir lumpur kini bagaikan kampung yang ditinggalkan.

BENTONG – Lima faktor utama termasuklah taburan hujan luar biasa yang sangat lebat dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir terburuk yang berlaku di daerah ini.

Pegawai Daerah, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim berkata, berdasarkan laporan yang diterima taburan hujan yang berlaku dalam tempoh sehari adalah tertinggi dan menyamai taburan hujan selama dua bulan direkodkan tahun lalu.

“Berdasarkan data, curahan hujan yang direkodkan di Bukit Dinding Karak pada 18 Disember ialah sebanyak 285 mi­limeter (mm) iaitu bersamaan dua bulan taburan biasa hujan dan dalam tiga hari bermula 17 hingga 19 Disember 2021 curahan hujan di kawasan itu merekodkan 364mm.

“Taburan hujan di Kuala Marong juga adalah tinggi dalam tempoh tiga hari itu iaitu seba­nyak 330.5mm, Janda Baik (268mm), Pos Sungai Dua (242mm), Kampung Jawi-Jawi (176mm), Kampung Manchis (180mm) dan Felda Mengkarak (146mm),” katanya di sini semalam.

PENDUDUK di Bentong membersihkan kediaman selepas dilanda bencana banjir baru-baru ini.

Menurutnya, antara faktor lain turut dikenal pasti setakat ini ialah keadaan sungai yang cetek dan berliku, tanah runtuh di kawasan hulu, halangan aliran air di sungai serta saliran dan juga faktor topografi daerah.

Katanya, pelbagai faktor ber­kenaan menjadikan bencana banjir kali ini lebih buruk daripada bencana banjir pada 1971 apabila aras air tertinggi pada kali ini ialah 90.57 meter berbanding pada 1971 iaitu 89.9 meter.

Dalam pada itu, katanya, kejadian banjir pada kali ini amat besar apabila melibatkan kira-kira 33 kawasan termasuklah perkampungan dan taman perumahan di seluruh daerah.

Katanya, berdasarkan data awal mendapati seramai 1,329 buah keluarga telah berpindah ke pusat pemindahan sementara susulan kejadian berkenaan.

Sementara itu, seorang warga emas, Baharom Osman, 76, ber­kata, berdasarkan pengalamannya yang berhadapan dua kali banjir besar menyaksikan kejadian kali ini amat luar biasa apabila air beserta lumpur naik dengan begitu cepat.

“Selain air yang besar kalau dilihat kali ini runtuhan tanah di Bukit Kutu begitu banyak, berbanding pada tahun 1971 hanya satu jalur sahaja pun telah menyebabkan banjir besar.

“Pada 1971 saya ada dengar bunyi kuat seperti letupan hingga pintu rumah bergegar, tetapi kali ini walaupun tidak dengar letupan, banjir amat luar biasa dan memusnahkan semua harta benda,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI