GADIS manis yang menghiasi ruangan Pesona Ahad pada minggu ini merupakan seorang model pakaian dan produk kecantikan sebuah akademi peragaan di Amerika Syarikat.
Berkecimpung secara separuh masa bagi mengisi ruang sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di University of Central Oklahoma disifatkan pengalaman berharga buat Zazarena Shazryl, 22.
Lebih mesra dipanggil Zaza, gadis cantik yang sangat meminati bidang permotoran dan handal menunggang Harley-Davidson berkongsi kisah hidupnya kepada Kosmo! Ahad.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan mengenai diri anda?
Zaza: Saya mula berminat menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak berusia 15 tahun dan ia timbul selepas sering mengikut bapa berkonvoi di Amerika Syarikat dan Thailand.
Menunggang motosikal berkuasa tinggi menjadikan saya seorang yang fokus dan berani dalam setiap tindakan yang diambil.
Pengalaman pahit menunggang?
Sewaktu menunggang sendirian di Oklahoma pada waktu malam, ketika itu saya berusia 19 tahun. Saya jadi panik apabila motosikal tidak boleh hidup selepas satu jam mencuba sebelum bantuan tiba.
Anda aktif membantu mangsa Covid-19, boleh terangkan?
Saya gunakan kelebihan motosikal berkuasa tinggi dengan menyertai program Rive to Revive dan melaluinya kami mempromosi restoran dan gerai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Kita bantu viralkan lokasi-lokasi menjamu selera ini di media sosial antaranya TikTok, Instagram agar kembali dikunjungi pelanggan.
Berapa banyak premis yang telah dipromosi?
Program sejak Oktober lalu dan sehingga kini lebih 20 buah premis antaranya di Sungai Petani, Alor Setar, Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Apakah yang dipelajari sepanjang misi tersebut?
Erti kepayahan hidup dan cabaran yang perlu dihadapi sesetengah orang dalam kelangsungan bidang perniagaan.
Perancangan masa depan?
Saya mahu membina kerjaya sebagai akauntan berjaya dan model untuk pakaian sukan serta beg tangan di Amerika Syarikat satu hari nanti.
Apa yang orang tidak tahu pasal anda?
Seorang yang lemah lembut tetapi tegas pendirian selain tidak pernah bercinta.
Ciri-ciri lelaki Idaman?
Individu yang bertanggungjawab dan mempunyai disiplin tinggi serta hobi yang sama menunggang motosikal Harley-Davidson. -K! ONLINE