YAOUNDE, Cameroon – Kapten Gabon, Pierre Emerick Aubameyang terpaksa diketepikan menentang Ghana pada aksi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi semalam selepas disyaki mengalami masalah jantung ekoran jangkitan Covid-19.
Bukan sahaja Aubameyang, tetapi dua lagi pemain Gabon, Mario Lemina dan Axel Meye yang diuji positif Covid-19 ketika aksi pembukaan sebelum ini juga terpaksa melupakan perlawanan itu kerana berdepan masalah sama.
Doktor Arsenal yang berhubung dengan Aubameyang melaporkan, pemain itu berada dalam keadaan baik dan positif, namun Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) tidak berani mengambil sebarang risiko terhadap sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Menurut Suruhanjaya Perubatan CAF, Aubameyang, Meye dan Lemina yang baru sahaja pulih daripada Covid-19 tidak dapat mengambil bahagian dalam perlawanan ini.
“Pemeriksaan yang dilakukan menunjukkan ada masalah pada jantung. CAF tidak mahu mengambil sebarang risiko,” menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Gabon.
Ketiadaan mereka bertiga menyaksikan Gabon sekadar seri 1-1 dengan Ghana dan kini menduduki tangga kedua di belakang Maghribi yang berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Comoros awal pagi semalam.
Dalam perkembangan lain, imbasan ultrasound ke atas Alphonso Davies mendapati tonggak pertahanan Bayern Munich itu turut berdepan masalah sama membabitkan jantung yang juga disebabkan kesan daripada jangkitan Covid-19.
Pengurus Bayern, Julian Nagelsmann berkata, ujian ke atas Davies mendapati, ada tanda-tanda myocarditis iaitu keradangan pada otot jantung.
“Ultrasound menunjukkan ada myocarditis dan ia perlukan sedikit masa untuk sembuh. Tidak jelas sama ada jangkitan itu berlaku kerana selesema, Omicron, Delta ataupun varian lain,” jelasnya. – AGENSI