WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kini dalam misi untuk meneroka kawasan paling dalam di lautan dikenali sebagai Zon Hadal, lapor Badan Penyiaran Britain kelmarin.
Dinamakan sempena Hades iaitu dewa Greek, Zon Hadal merangkumi kawasan jurang pada kedalaman 11 kilometer dari permukaan laut.
Kawasan memiliki keluasan menyamai negara Australia dan hanya segelintir kenderaan penerokaan yang mampu sampai ke dasarnya.
NASA membina kapal selam kawalan jauh khas yang dinamakan Orpheus bagi tujuan tersebut. Kapal selam itu menggunakan kamera amat sensitif untuk mengenal pasti pembentukan batu, karang dan lanskap lain di dasar laut bagi membina peta tiga dimensi kawasan tersebut.
Antara matlamat misi itu dengan kerjasama Institut Oseanografi Woods Hole (WHOI) di Massachusetts adalah untuk meneroka dan menyiasat takat kehidupan di lautan.
“Sekiranya misi ini berjaya, tiada tempat di dalam lautan yang tidak dapat dicapai oleh kami,” klata ahli biologi laut dalam yang mengetuai misi bersama WHOI tersebut, Tim Shank.
Ini bukan kali pertama Shank cuba mencapai kawasan gelap dan dalam di Zon Hadal. Pada 2014, kapal selam Nereus dihantar ke Jurang Kermadec yang terletak ke utara New Zealand.
Kenderaan bawah laut itu remuk dan pecah pada kedalaman sekitar 10 kilometer berkemungkinan besar akibat tekanan terlalu tinggi. – Agensi