PYONGYANG – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu kereta api taktikal dalam pelancaran misil ketiga pada bulan ini meskipun Amerika Syarikat melaksanakan beberapa sekatan baharu ke atas Pyongyang.
Tentera Korea Selatan menyatakan, pihaknya mengesan dua peluru berpandu balistik jarak dekat semalam, beberapa jam selepas Korea Utara menuduh AS melakukan provokasi susulan sekatan baharu yang diumumkan oleh Washington.
“Ujian ini diadakan untuk memeriksa dan menilai keupayaan peluru berpandu yang dilancarkan daripada kereta api,” kata agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.
Korea Utara kali pertama melancarkan misil daripada kereta api pada September 2021.
Ketua-Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata, peluru berpandu itu terbang sejauh 430 kilometer pada ketinggian 36 kilometer.
Ujian peluru berpandu semalam adalah yang ketiga pada bulan ini susulan kejayaan pelancaran dua misil hipersonik, masing-masing pada 5 Januari dan 11 Januari lalu.
Sebagai tindak balas, AS melaksanakan beberapa sekatan baharu ke atas Pyongyang minggu ini dengan Setiausaha Negara, Anthony Blinken berkata, Korea Utara sengaja ‘mahukan perhatian’ menerusi tindakannya.
Susulan sekatan-sekatan baharu itu, Pyongyang menuduh Washington ‘sengaja memburukkan situasi sedia ada,’ sedangkan Korea Utara berhak untuk mempertahankan dirinya. – Agensi