LUMUT – Mudah takut serta cepat percaya akibat kurang mendapat maklumat dan kesedaran menjadi punca masih ramai individu di Perak terpedaya dan menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan wang ribuan ringgit.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 2,021 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian hampir RM70 juta termasuk golongan profesional dan pesara.
Jelasnya, hampir semua mangsa terlibat tidak mempunyai maklumat atau mengetahui modus operandi yang dilakukan oleh ‘scammer’ bagi memperdaya mereka.
“Kejadian terbaharu ialah dua hari lalu apabila seorang mangsa kerugian RM174,000 selepas menerima panggilan kononnya daripada syarikat insurans yang mendakwa mangsa ada membuat tuntutan palsu.
“Jenayah dalam talian paling popular dan ramai tertipu, ada yang tertipu membeli barang dalam talian, terpedaya akibat takut dan macam-macam taktik lain,” katanya ketika ditemui pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor di sini hari ini.
Kayuhan santai sejauh 12 kilometer melibatkan lebih 100 peserta terdiri daripada warga polis Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan persatuan berbasikal sekitar Manjung.
Ujarnya, program HPP seperti itu akan dilakukan lebih kerap bagi mendekati orang ramai untuk memberi kesedaran dan maklumat mengenai kegiatan penipuan itu supaya penduduk negeri ini sentiasa berwaspada.
“Berapa pun jumlah kerugian, (mangsa mesti) datang ke balai untuk buat laporan supaya pihak polis dapat terus mengesan dan mengambil tindakan terhadap sindiket ini daripada terus memperdaya masyarakat.
“Saya juga menasihatkan orang awam supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada sesiapa,” jelasnya. – K! ONLINE