PETALING JAYA – Pelakon Amyra Rosli terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara sejak kelmarin selepas doktor mengesahkan pelakon itu dijangkiti kuman dalam darah.
Suami kepada Amyra yang juga pelakon, Amar Baharin ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, doktor memberitahu masih terdapat kuman dalam darahnya dan memerlukan pemantauan di hospital.
“Pagi tadi doktor beritahu masih ada jangkitan dalam darahnya. Kata doktor punca kemungkinan daripada udara.
“Amyra mungkin terdedah dengan individu yang mengalami batuk-batuk dan merebak melalui udara,” katanya.
Sebelum dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu, Amar berkata isterinya mengalami demam panas sehingga mencecah 40 darjah selsius.
“Selain demam panas, Amyra juga hilang selera makan dan terdapat kelenjar kecil pada bahagian lehernya,” jelas Amar.
Ujar pelakon berusia 37 tahun itu, isterinya baru sahaja mendapatkan suntikan dos penggalak (booster) pada 7 Januari lalu dan berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, tiga hari selepas itu, Amyra mula mengalami demam panas.
“Saya tidak mahu salahkan suntikan penggalak itu sebab kesannya pada badan seseorang adalah berbeza,” katanya.
Sementara itu, Amar memaklumkan bahawa Amyra seboleh-bolehnya hendak keluar cepat dari hospital kerana sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.
Amar berkata, Amyra menjadi serba salah dan tidak mahu menyusahkan orang lain selepas dia dimasukkan ke hospital.
“Namun doktor nasihatkan untuk berehat sekurang-kurangnya seminggu di hospital kerana keadaan kesihatannya perlu dipantau.
“Sebagai suami, saya mahu dia berehat dahulu sehingga betul-betul sembuh. Tapi kalau tuan punya badan (isteri) rasa dia boleh bekerja semula, saya tiada halangan,” katanya.
Buat masa ini, dua orang anak pasangan selebriti itu iaitu Aqeef Anaqi, 5, dan Ayra Aryssa, 2, dijaga oleh nenek mereka sementara Amyra masih dirawat di hospital. – K! ONLINE