fbpx

KKM sasar generasi tanpa perokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan berhasrat menggubal perundangan baharu dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok dalam persidangan Parlimen tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, undang-undang yang dianggap lebih tegas itu bakal melahirkan generasi akan datang yang tidak lagi kenal apakah itu rokok dan produk berkaitannya.

“Pada saya, peruntukan akta ini memang harus diwujudkan segera demi memastikan sampai satu masa kelak, anak muda generasi terakhir kita akan tidak kenal apa itu rokok,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 peringkat kementerian itu yang diadakan secara hibrid baru-baru ini yang turut disertai oleh semua pegawai dan kakitangannya.

Meskipun tidak dinyata secara spesifik, beliau merujuk Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018) yang diwartakan pada 2020 sebagai undang-undang larangan merokok.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun akta baharu itu kelak dijangka boleh mengundang banyak kontroversi, beliau perlu bermula sekarang bagi mengawal selia trend gejala merokok.

“Akta ini juga nanti akan memperuntukkan apa yang diharapkan sebagai generation end-game (generasi penamat) perbuatan merokok di Malaysia untuk tempoh jangka panjang,” jelasnya.

Meskipun pelbagai kempen dibuat malah zon larangan merokok ditambah, tahap kesedaran katanya tetap sama dengan melihat angka kemasukan pesakit jantung, kanser dan lain-lain.

Khairy juga bertekad menyemak semula Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi isu kawal selia dapat dilakukan ke atas penggunaan substan tumbuhan seperti ganja dan ketum.

“Ini untuk membolehkan ia diaplikasi untuk tujuan perubatan dengan disesuaikan mengikut data dan bukti saintifik selain hasil dapatan penyelidikan terkini seluruh dunia,” tambah beliau.

Segala pindaan serta penggubalan akta itu tegasnya, akan memberi punca kuasa kepada pihak kementerian dan harapan kepada rakyat yang menanti begitu lama perubahan dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin juga membayangkan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan akan dibuat sebaliknya usaha pengekangan penularan wabak Covid-19 akan diperkasakan lagi.

Ini termasuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan sebagai badan bebas pelaksana perubahan yang bertanggungjawab memastikan kesihatan rakyat terbela.

Turut disentuhnya ialah misi menjadikan Institut Kesihatan Kebangsaan sebagai bertaraf pusat kecemerlangan antarabangsa dan fasiliti kementerian lebih canggih dan mesra alam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI