PETALING JAYA – Penyanyi dan juga pelakon versatil, Amy Mastura tidak menghalang malah terbuka hati jika dua orang anak perempuannya ingin mengikut jejak langkahnya menceburi bidang seni.
Amy atau nama lengkapnya Amy Mastura Suhaimi tidak kisah jika anaknya mahu menyertai industri hiburan dan sedia untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.
“Saya sebenarnya okey kalau anak-anak masuk industri hiburan. Saya jenis yang tidak akan larang dan menggalakkan mereka ikut jejak saya. Tapi semuanya bergantung pada mereka juga,” ujarnya.
Melihat perkembangan dua orang anaknya, Adriana, 21, dan Adalia, 18, yang semakin meningkat dewasa, selebriti berusia 51 tahun itu bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melihat mereka di depan mata.
Amy gembira kerana anak-anaknya kini mempunyai haluan hidup sendiri apabila memberitahu Adriana kini sudah pun bekerja, manakala Adalia pula bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.
“Walaupun mereka sudah dewasa, saya bersyukur anak-anak belum pergi jauh dan masih tinggal bersama ibu bapa mereka.
“Ini bermaksud saya dan suami, Alvin masih mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak. Kami bukanlah ibu bapa yang merancang untuk bersantai sahaja bila anak-anak meningkat dewasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amy yang ditemui pada sidang media The Masked Singer Malaysia baru-baru ini mendedahkan anak keduanya, Adalia dilihat mempunyai potensi untuk mengikuti jejak langkahnya apabila telah menunjukkan minat terhadap bidang seni.
“Adalia lebih kepada lakonan. Dia kerap juga terbabit dalam teater. Dalam hal ini, kita kena beritahu dia konsep nasib, rezeki dan tuah,” kata Amy.
Pelakon filem Puteri itu tidak mahu anaknya ‘meracau’ jika tidak diberi peluang untuk bersinar dikemudian hari seandainya dia mahu serius dalam bidang seni.
“Kalau tak berjaya pun, harap dia faham bahawa bukan semua orang boleh masuk dalam bidang seni. Saya sendiri tiada siapa yang perkenalkan atau bawa masuk. Semuanya berbalik kepada rezeki.
“Buat masa biarlah Adalia fokus pada pelajaran dulu. Kalau nak sertai bidang seni sangat, biarlah dia masuk belajar di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) atau mana-mana institusi yang menawarkan bidang seni,” katanya.
Sekadar info, Amy yang pernah bertugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines System (MAS) mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Alvin Tham Suffian pada tahun 2000 dan dikurniakan orang cahaya mata perempuan. – K! ONLINE