GEORGE TOWN – Sebuah kediaman di Jalan Permatang Damar Laut, Kampung Bukit, Bayan Lepas di sini musnah dalam kebakaran sebentar tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan mangsa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.07 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau dikejarkan ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dan Paya Terubong.
“Apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian kebakaran didapati melibatkan sebuah rumah dua tingkat dengan anggaran kemusnahan kebakaran 80 peratus.
“Kebakaran itu turut melibatkan dua buah kereta dan sebuah motosikal yang ditempatkan di situ. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Jelasnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 12.22 tengah hari dan kerja-kerja pengawalan pemadaman api masih dijalankan ketika ini. – K! ONLINE