PETALING JAYA – “Walau saya kahwin tanpa cintan-cintun, tapi dia (suami) tidak pernah mensia-siakan saya.”
Itu antara perkongsian pelakon Zarina Zainuddin atau nama lengkapnya, Zarina Amira Zainuddin, 51, tentang kisah rumah tangganya dengan Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar.
Hampir tiga dekad melayari bahtera perkahwinan berstatus isteri kedua, Zarina mengakui sangat menghormati kesucian perkahwinan suami dengan isteri pertama, Datin Seri Hashimah.
“Pada usia 22 tahun, saya berkenalan dengan seorang lelaki yang jujur menceritakan kisahnya mula-mula bercinta dengan isterinya.
“Sejak zaman isterinya tingkatan dua lagi. Dia (suami) cakap, bukan senang nak rebut hati isterinya sampai nak kena tembak arwah bapa isterinya dengan senapang patah. Akhirnya, dapat juga mereka berkahwin.
“Cintanya memang cinta mati dengan isteri pertama. Saya suka dengar dia cerita betapa dia sayang isterinya,” dedah Zarina menerusi satu hantaran status Instagram.
Tambahnya, suami merupakan seorang lelaki yang budiman dan dipendekkan cerita, pada mulanya, dia begitu takut untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki.
“Saya begitu takut nak berkawan dengan lelaki. Saya rasa lelaki semua jahat, semua suka nak ambil kesempatan lagi- lagi terhadap wanita seperti saya.
“Apabila suami ajak saya kahwin, saya cakap bawa jumpa isterinya dahulu. Dia berani bawa saya jumpa, minta izin. He’s a gentleman (seorang lelaki budiman).
Pelakon filem Sumpahan Berdarah itu merakamkan ucapan terima kasih kepada individu-individu penting dalam hidupnya, terutama sejak bergelar isteri sejak berusia 22 tahun.
“28 tahun bukan masa yang sedikit. Terima kasih abah, terima kasih Kak Shimah (madu) dan anak-anak tiriku kerana terima diri ini seadanya.
“Terima kasih mak, kenalkan saya dengan insan bernama suami. Orang ramai tanya ‘itu suami kedua awak ke’. Itulah suami saya dari umur saya 22 tahun lagi sehingga kini, 51 tahun,” ujarnya.
Zarina berkahwin dengan Abu Raihan pada 13 Julai 1993.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang anak lelaki iaitu sepasang kembar termasuk Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) yang menghidap autisme. – K! ONLINE