Oleh LIYANA RAMLI
BATU GAJAH – Seorang balu bersyukur mendapat rumah baharu setelah rumah pusaka berusia 50 tahun yang didiami keluarganya di Kampung Tersusun Sungai Terap di sini hampir roboh.
Norismah Ismail, 49, berkata, Allahyarham suaminya, Norazam Abdul Rahman, 49, pasti sangat bersyukur dengan rumah baharu mereka walaupun tidak sempat mendudukinya.
Sementara menunggu rumah itu siap, Norismah dan anak-anaknya tinggal di ruang belakang rumah lama walaupun dalam keadaan tidak selamat kerana kayu-kayunya telah reput.
Katanya, suaminya merupakan penerima bantuan rumah tersebut melalui Program Baiti Jannati (PBJ) Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Sebelum meninggal dunia, arwah sangat berbesar hati dan tidak sabar untuk mendiami rumah ini, tetapi tidak kesampaian.
“Arwah suami pernah bekerja sebagai pengurus sebuah resort di sini, tetapi setelah menghidap strok kami hanya berharap kepada bantuan sahaja,” kata ibu tiga anak ini.
Terdahulu, Norismah menerima kunci rumah baharunya yang disampaikan oleh Ketua Pengawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Sementara itu menurut Baharin, PBJ telah memanfaatkan seramai 117 orang dengan nilai peruntukkan 5.1 juta di negeri Perak sejak tahun 2008.
“RM 1.2 juta telah diperuntukkan bagi membina 20 buah rumah buat golongan asnaf terpilih di negeri ini pada tahun 2021.
“Manakala pada peringkat Nasional, 717 rumah telah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai sepenuhnya di seluruh semenanjung dengan nilai peruntukkan melebihi RM31 juta sejak tahun 2007,” katanya. – K! ONLINE