fbpx

Isu dukung wanita dalam video tular, ini jawapan Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK pernah merancang untuk melakonkan aksi dukung, Zul memaklumkan perkara tersebut berlaku secara spontan tanpa ada sebarang niat untuk menjadikannya tular. Foto oleh AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – “Saya tak pernah keluarkan sebarang kenyataan tidak akan melakonkan babak mendukung mana-mana wanita.”

Itu antara respons aktor terkenal, Zul Ariffin selepas namanya beberapa kali terpalit dengan isu mendukung pelakon wanita sejak akhir-akhir ini.

Beberapa hari lalu, Zul sekali lagi menjadi bualan netizen selepas aksinya mendukung seorang wanita dalam sebuah video promosi produk bengkung tular dalam media sosial.

Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, adegan memaparkannya mendukung wanita dalam mana-mana iklan mahupun drama tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menjadi bahan bualan dalam kalangan netizen.

“Idea untuk melakonkan aksi pegang tangan, dukung tersebut berlaku secara spontan. Sebenarnya kami risau juga mengenainya tetapi selepas ditonton semula, nampak okey dan kami gunakan saja.

“Aksi dukung dalam video promosi tersebut sama juga seperti apa yang saya lakukan dalam mana-mana drama. Apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan iaitu mempromosikan kelebihan produk tersebut kepada umum,” katanya.

Zul berkata demikian kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar pelantikannya sebagai duta bengkung keluaran jenama Superwoman di Concorde Hotel, Shah Alam semalam.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima, pelakon filem Sangkar itu memberitahu semua kritikan yang diterima dianggap sebagai publisiti yang normal terutama dalam industri hiburan tanah air.

Malah, dia juga tidak pernah merancang untuk melakonkan babak dukung tersebut namun selepas memandang dari aspek kreatif, aksi tersebut dilihat sesuai dengan produk yang hendak dipromosi.

“Kami tak rancang pun sebenarnya aksi-aksi tersebut. Namun bagi saya, jika perkara tersebut dilihat dari sudut positif, maka baiklah mesejnya dan sekiranya negatif, jadi buruklah isinya.

“Mengenai kritikan pula, perkara tersebut seperti sarapan pagi, saya telan saja semuanya. Setakat ini, aksi tersebut saya pandang hanyalah dari sebuah video pendek dan tidak lebih daripada itu.

“Babak tersebut juga tak sepatutnya menjadi isu sebab itu sebahagian daripada kerja saya. Saya dilantik sebagai duta produk tersebut kemudian saya jalankan tugas saya seperti yang sepatutnya,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai pelantikannya sebagai duta produk bengkung, dia berpendapat perkara tersebut sebagai satu cabaran buatnya yang juga seorang lelaki.

“Ini merupakan satu cabaran baru buat saya memandangkan ini kali pertama dilantik sebagai duta untuk sebuah produk wanita.

“Tetapi, penggunaan bengkung sebenarnya bukan saja untuk kecantikan kaum wanita malah saya sendiri gunakannya untuk bersukan dan memakai ketika bersenam di gimnasium.

“Selepas menggunakannya, terbukti bengkung mampu membakar lemak dengan lebih cepat dan membentuk perut menjadi tegap. Jadi saya percaya produk ini mampu menjadi inspirasi buat kaum wanita terutama yang mahu mendapatkan bentuk badan ideal,” katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang pengasas bengkung Superwoman yang juga menjadi pasangan Zul dalam video tersebut, Farah Nabilah Abd Aziz memohon maaf sekiranya lakonan mesra mereka mencetuskan rasa kurang senang khususnya dalam kalangan peminat pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu.

“Saya hanya lakukan yang terbaik dalam video tersebut sama seperti yang diminta sebab itu memang tanggungjawab dan kerja saya untuk promosikan produk sendiri.

“Saya tak terfikir pun tentang video tersebut akan viral kerana semuanya berlaku sangat pantas dan tidak kisah pun apa orang cakap.

“Mungkin perkara ini agak sensitif kerana tidak sesuai dengan budaya masyarakat negara ini. Apapun saya minta maaf terutama kepada peminat Zul dan sememangnya tiada niat buruk langsung mengenai perkara tersebut,” tuturnya.

Terdahulu, Zul beberapa kali mencuri perhatian ramai apabila tersebar beberapa video memaparkan aksi mesra dengan Ruhainies dan juga aksi mendukung pelakon wanita dalam sebuah video promosi bengkung seperti yang tular baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI