fbpx

Tiga wanita Indonesia jadi mangsa keganasan seksual setiap dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVIS berarak bagi menuntut hak-hak ke atas wanita ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Jakarta pada 8 Mac 2019. – AFP

JAKARTA – Suruhanjaya Kebangsaan bagi Keganasan Terhadap Wanita (Komnas Perempuan) mendedahkan statistik yang menyatakan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang wanita di Indonesia menjadi mangsa kes keganasan seksual bagi setiap dua jam, lapor portal Coconuts kelmarin.

Pengerusinya, Andy Yentriyani berkata, statistik yang dikemukakan itu adalah penting dalam usaha untuk mendesak pemerintah bagi meluluskan rang undang-undang yang memberikan lebih perlindungan kepada wanita di negara itu.

“Sehingga 2019, data Komnas Perempuan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang wanita Indonesia menjadi mangsa keganasan seksual bagi setiap dua jam.

“Angka tersebut adalah berdasarkan kes-kes yang dilaporkan. Kita sedar bahawa terdapat ramai lagi wanita di luar sana yang tidak melaporkan kejadian yang menimpa mereka,” katanya.

Tambah Andy, daripada kes-kes yang dilaporkan, hanya kira-kira 30 peratus diambil tindakan oleh pihak polis.

“Ia disebabkan oleh kekangan undang-undang negara ini yang tidak menetapkan secara jelas mengenai tindakan yang boleh dianggap sebagai keganasan seksual,” ujarnya.

Aktivis-aktivis hak wanita di Indonesia sebelum ini telah lama menggesa Rang Undang-undang Pembasmian Keganasan Seksual diluluskan, di mana ia telah dibahaskan di parlimen selama bertahun-tahun.

Tahun lalu, rang undang-undang tersebut disemak semula sebagai Rang Undang-undang Jenayah Seksual yang hanya menetapkan empat kategori keganasan seksual berbanding sembilan sebelum ini.

Antara yang dihapuskan adalah kehamilan secara paksa, pengguguran secara paksa dan pelacuran secara paksa. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI