JAKARTA – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter menggegarkan perairan Pulau Jawa hari ini, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) selepas bangunan-bagunan dilaporkan bergoyang di ibu kota Indonesia, Jakarta.
Gempa itu berlaku di perairan barat daya Pulau Jawa pada kedalaman 37 kilometer pukul 5.05 petang (waktu Malaysia).
Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan setakat pukul 5 petang tadi, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan, namun gegaran dirasai hingga ke Jakarta.
Sebilangan warga kota Jakarta dipindahkan dari bangunan-bangunan dan beratus-ratus penduduk berkumpul di tempat terbuka selepas gempa berlaku, kata seorang wartawan AFP.
Wanita berumur 25 tahun, Nur Latifa berkata, penghuni sebuah kompleks apartmen di Bandar Kalibata, selatan Jakarta, meninggalkan kediaman masing-masing ketika gempa berlaku.
“Saya sedang bekerja dari rumah dan menyedari komputer riba saya bergerak, kemudian pintu mula bergoncang.
“Saya mendapatkan teman sebilik saya yang berada di dalam bilik air dan kami bergegas meninggalkan apartmen kami,” kata Latifa. – AFP