MELBOURNE – Bekas pemain No. 1 dunia, Simona Halep sedia menjadikan kejohanan tenis Terbuka Australia yang akan membuka tirainya pada Isnin ini sebagai permulaan untuk kembali ke era kegemilangannya.
Pemenang dua kali Grand Slam itu ketika ini berada dalam fasa persiapan terakhir bagi menghadapi saingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$75 juta (RM313.23 juta).
Halep yang pernah memegang status sebagai pemain No.1 dunia selama 64 minggu itu kini berada pada ranking ke-15 dunia dan berharap untuk kembali ke kelompok 10 teratas dalam saingan musim ini.
“Saya berada di situ (10 teratas) untuk tempoh yang lama tetapi musim lalu, saya rasa kurang bermaya disebabkan kecederaan selain berdepan tekanan tinggi. Oleh itu, saya merasakan ada baiknya untuk berada di luar 10 teratas.
“Bagaimanapun, kini saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran dan kembali merebut tempat dalam kelompok 10 teratas. Saya tahu bukan tugas yang mudah tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan,” kata bintang tenis Romania itu.
Pemain berusia 31 tahun itu mengakui, sudah tidak sabar untuk turun ke gelanggang membuka cabarannya menentang Magdalena Frech dari Poland di pusingan pertama Terbuka Australia kali ini.
“Sekarang saya dapat bermain dengan lebih tenang walaupun sebelum ini tidak jangka masih boleh bersaing pada usia ini. Sekarang fokus saya untuk memenangi setiap perlawanan,” ujarnya. – AGENSI