MANCHESTER – Bintang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo memberikan kata dua kepada pasukan itu agar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok tiga teratas.
Ronaldo, 36, mendakwa, dia tidak menyertai The Red Devils untuk berada di luar kelompok empat teratas yang boleh menyaksikan kelab itu terlepas peluang ke pentas Liga Juara-Juara musim depan.
Justeru, kapten Portugal itu menegaskan, dia akan memberikan segala-galanya bagi memastikan United kembali mencabar bermula aksi menentang Aston Villa di Villa Park awal pagi esok.
“Saya akan kembali berlatih seperti biasa dan kita lihat bagaimana tahap keadaan badan saya. Buat masa ini, saya sangat yakin (beraksi menentang Villa).
“Saya tidak mahu berada di sini semata-mata untuk bersaing merebut tempat kelima atau enam ataupun tujuh. Saya hadir ke United untuk menang.
“Secara peribadi, saya tidak boleh menerima jika gagal berada dalam kelompok tiga terbaik. Perjalanan masih jauh dan jika mentaliti diubah, saya percaya ia boleh dicapai,” kata Ronaldo.
Walaupun sudah meledak lapan gol dan tiga bantuan jaringan dalam saingan EPL, namun Ronaldo tetap menjadi mangsa kecaman para penyokong fanatik yang kecewa dengan prestasi terumbang-ambing United.
Skuad bimbingan Ralf Rangnick itu kini menduduki tangga ketujuh dengan 31 mata, enam mata di belakang pasukan No.4, West Ham United. – AGENSI