LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap barisan pemainnya memiliki semangat juang yang cukup luar biasa selepas berjaya mengikat Liverpool seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi semalam.
Walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk tempoh hampir 70 minit selepas Granit Xhaka dilayangkan kad merah pada minit ke-24, namun Arteta tetap berpuas hati melihat kesungguhan anak-anak buahnya mempertahankan gawang daripada dibolosi.
“Saya bangga dengan pemain dan apa yang kami lakukan pada perlawanan ini cukup luar biasa. Beraksi di sini, menentang pasukan berkualiti seperti Liverpool, bermain 10 pemain untuk 70 minit dan cara kami atasinya cukup hebat.
“Satu tugas yang sukar tetapi kami tidak jangkakan terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk satu tempoh yang lama. Semua pemain memahami tugas masing-masing, mereka menunjukkan sikap melawan dan kesungguhan tinggi.
“Tidak mudah berputus asa dan kekal cuba untuk memenangi perlawanan. Usah cari alasan mengenai pengadil kerana kami datang ke sini untuk melakukan yang terbaik dan ia membuahkan hasil,” kata Arteta.
Keputusan seri itu memberi peluang lebih baik kepada The Gunners yang akan menanti kunjungan Liverpool untuk aksi timbal balik di Emirates pada 21 Januari ini.
Dalam masa sama, Arteta tidak mahu pemainnya dihimpit tekanan setiap kali turun beraksi dan apa yang dipersembahkan dalam perlawanan itu sudah cukup menggembirakannya.
Pengurus dari Sepanyol itu turut menghamburkan pujian kepada barisan pertahanannya yang cukup lantang mengatur gerakan pasukan setiap kali menerima asakan daripada Liverpool dalam aksi tersebut.
“Saya jangkakan aksi di Emirates nanti akan menjadi lebih hebat daripada ini. Saya mahu pemain kalahkan pasukan yang baik seperti Liverpool,” jelas Arteta. – AGENSI