UMUM mengetahui sektor perkhidmatan awam adalah tonggak pentadbiran negara.
Sektor itu mempunyai peranan untuk menggubal dasar dan menetapkan hala tuju negara di landasan yang betul.
Tetapi penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan negara berhadapan dengan satu cabaran besar untuk menangani masalah tersebut terutama dari segi ekonomi.
Dalam hal ini, penjawat awam mempunyai peranan besar dalam membantu kerajaan untuk memacu semula ekonomi negara.
Bagi mengulas lanjut tentang peranan penjawat awam dalam membantu negara serta menjawab isu lain yang timbul berkaitan perkhidmatan awam, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI mewawancara Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Penularan wabak Covid-19 yang melanda negara mengakibatkan ramai rakyat terkesan. Apakah peranan yang boleh dilakukan oleh penjawat awam bagi membantu negara memulihkan semula ekonomi negara?
ADNAN: Jika kita lihat, peranan penjawat awam dalam mengurangkan kesan kepada rakyat terutama dari segi ekonomi akibat penularan Covid-19 bermula seawal Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Pada ketika itu, walaupun sektor ekonomi hampir ditutup sepenuhnya, penjawat awam terdiri daripada petugas barisan hadapan dan belakang kekal bekerja bagi memastikan negara tidak lumpuh.
Ia terbukti apabila rakyat yang tidak berkemampuan dibantu melalui pelbagai saluran termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat zakat. Selepas itu, pelbagai pelan pemulihan ekonomi negara dilaksanakan kerajaan yang didukung sepenuhnya oleh penjawat awam.
Norma baharu pekerjaan dalam sistem perkhidmatan awam juga berubah sepenuhnya terutama dalam mengurangkan kerenah birokrasi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengusulkan supaya satu pasukan petugas khas dibentuk untuk meneliti dan mengubah sistem penyampaian perkhidmatan awam agar dapat membantu memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas.
Adakah penjawat awam bersedia untuk melaksanakan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara seperti yang ditekankan kerajaan?
Kami di CUEPACS percaya semua penjawat awam tidak kira di peringkat persekutuan atau negeri bersedia memberi komitmen sepenuhnya bagi menjayakan pelan pemulihan ekonomi yang digariskan kerajaan.
Penjawat awam juga rakyat biasa yang mempunyai keluarga. Pasti kita mahu melihat semua rakan-rakan termasuk ahli keluarga menikmati kehidupan kembali seperti sedia kala.
Dalam hal ini, CUEPACS berharap semua masyarakat memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada penjawat awam.
Sejak kebelakangan ini, kita melihat banyak kes mengenai salah laku laku penjawat awam terutama melibatkan rasuah. Adakah gejala rasuah semakin serius dalam perkhidmatan awam?
CUEPACS ingin membetulkan sedikit salah tanggapan masyarakat yang sering melabel gejala rasuah dalam perkhidmatan awam semakin parah.
Ia hanyalah mainan persepsi kerana kes rasuah yang melibatkan penjawat awam bukan kes berlaku setiap hari. Cuma apabila ia melibatkan penjawat awam, kes ini akan menjadi lebih sensasi.
Dalam hal ini, kami meminta sokongan daripada masyarakat agar tidak memandang serong terhadap keseluruhan perkhidmatan awam kerana perbuatan tersebut hanya melibatkan individu.
Ada individu yang baik dan ada yang tersasar daripada landasan normal kehidupan. Adalah tidak adil melabelkan seluruh perkhidmatan awam hanya kerana beberapa kes terpencil melibatkan kakitangannya.
Adakah kadar gaji yang rendah mendorong penjawat awam terlibat dalam masalah rasuah?
Jika penjawat awam itu terlibat dengan rasuah atau pelanggaran integriti, perbuatan tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan soal gaji kecil atau besar.
Rasuah juga tidak mengira sama ada mereka bekerja di sektor kerajaan atau swasta.
Dalam hal pelanggaran integriti yang melibatkan penjawat awam, individu tersebut lupa dengan tanggungjawab yang sepatutnya mereka laksanakan.
Pelaku tidak berfikir panjang dan lupa yang mereka dilantik dalam perkhidmatan awam untuk menjaga dan berkhidmat kepada rakyat serta negara. Mereka tidak berasa kasihan pada diri sendiri dan keluarga.
Jadi, isu gaji tiada kaitan dengan pelanggaran integriti kerana jika kita lihat kes-kes yang dibicarakan di mahkamah banyak melibatkan individu bergaji besar, ahli politik dan usahawan besar.
Perlukah kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang diterima penjawat awam?
Pihak CUEPACS berasakan kajian semula kadar gaji perlu dikaji secara keseluruhan termasuk di sektor swasta dan bukan hanya melibatkan penjawat awam.
Gesaan atau cadangan ini dibuat kerana mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara pada kadar RM2,208 yang baru sahaja diumumkan oleh Jabatan Perangkaan pada Julai lalu.
Berdasarkan nilai baharu ini, seramai 405,441 isi rumah di negara ini berada pada paras kemiskinan.
Kita tidak berasa terkejut dengan angka itu kerana ia situasi semasa atau hakikat yang perlu diterima.
Jika kita lihat gaji minimum di sektor swasta ketika ini ditetapkan pada paras RM1,200 sebulan. Begitu juga dengan gaji permulaan asas penjawat awam tanpa mengambil kira elaun juga RM1,200 sebulan.
Sekiranya dibuat perbandingan dengan nilai PGK baharu ini, dapat kita simpulkan bahawa gaji minimum yang ditetapkan di Malaysia sebenarnya berada di bawah paras garis kemiskinan.
Kedua-dua golongan pekerja tersebut merupakan rakyat Malaysia yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
CUEPACS tidak mahu mengemukakan apa-apa cadangan mengenai nilai atau had gaji minimum baharu dan patut kerajaan tetapkan berdasarkan nilai PGK ini kerana bimbang ia akan disalahertikan oleh pihak-pihak tertentu.
Adakah saiz penjawat awam perlu ditambah dan sektor manakah yang memerlukan penambahan tersebut?
Sehingga kini, jumlah penjawat awam di negara ini adalah seramai 1.62 juta orang dan daripada jumlah itu iaitu sebanyak 1.2 juta orang melibatkan sektor pendidikan, keselamatan dan kesihatan, manakala bakinya bagi sektor perkhidmatan iaitu sekitar 400,000 orang.
Bagi sektor pendidikan, keselamatan dan kesihatan jika ada keperluan untuk ditambah kerajaan perlu menambahnya kerana ia adalah sesuatu yang amat penting.
Manakala untuk sektor perkhidmatan ianya masih munasabah dan ideal.
Mutakhir ini, ramai penjawat awam yang aktif di media sosial seperti TikTok dan adakah ia akan memberi kesan kepada jabatan yang mereka wakili?
Perkembangan teknologi maklumat ketika ini menjadikan media sosial menjadi pilihan kebanyakan masyarakat untuk mendapatkan maklumat atau mengekspresikan diri masing-masing.
Bagaimanapun, CUEPACS ingin memberikan nasihat dan peringatan mesra kepada semua penjawat awam agar tidak menggunakan aplikasi media sosial untuk berhibur ketika waktu bertugas.
Begitu juga dengan mereka yang memakai seragam rasmi jabatan supaya tidak sesekali merakamkan gambar atau video untuk dimuat naik ke media sosial.
Kita akui, terdapat segelintir kecil penjawat awam yang memakai uniform jabatan masing-masing merakam video tidak senonoh, jelek dan berunsur negatif untuk dimuat naik ke platform media sosial peribadi seperti TikTok, Instagram YouTube dan Facebook. Video jelek dan tidak senonoh seperti menari, menyanyi serta perkongsian hal-hal peribadi yang dirakam ketika berpakaian uniform menjadikan imej jabatan tersebut turut terpalit.
Adakah had umur persaraan penjawat awam perlu dikurangkan bagi memberi peluang kepada anak muda mengisi kekosongan mereka yang bersara?
Had umur persaraan penjawat awam pada umur 60 tahun yang ditetapkan ketika ini adalah relevan.
Apatah lagi negara dijangka menjadi status negara tua pada pada tahun 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas merangkumi 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Dalam hal ini, kerajaan perlu mencari jalan bagaimana mahu menjadikan mereka yang berumur 60 tahun ke atas kekal produktif dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu melihat mengenai isu peluang pekerjaan untuk golongan muda terutama dalam mencipta peluang pekerjaan baru.