fbpx

Khai Bahar tak ikut trend, tak minat kereta mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAI BAHAR

PETALING JAYA – Penyanyi Khai Bahar tidak terfikir mengikuti ‘trend’ atau gaya hidup semasa sebilangan anak muda yang gemar memberi ganjaran kereta mewah buat diri sendiri sebagai tanda hasil kerja keras.

Khain berasakan tiada keperluan untuk diri berbuat demikian. Dia bahkan tidak memiliki kereta sendiri walaupun sudah enam tahun dalam industri seni.

Dia jarang memandu memandangkan urusan logistik membabitkan kerja banyak dibantu pengurus peribadi, selain selesa menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif.

“Saya memang tak minat beli kereta mewah macam orang lain. Kereta tiada dalam senarai keperluan. Sepanjang tempoh jadi penyanyi, rasanya barang paling mahal pernah saya beli adalah telefon bimbit iPhone.

“Saya tak kisah pun naik pengangkutan awam macam tren LRT (Transit Aliran Ringan). Kiranya saya buat apa yang saya rasa selesa. Peminat pun tahu saya jenis tak kisah. Macam balik kampung pun kerap naik keretapi berbanding kapal terbang.

“Naik tren sangat menyenangkan sebab tiada waktu menunggu yang panjang walaupun kalau tengok jadual perjalanan keretapi ke Perlis hampir mencecah lima jam. Cuma kalau mahu cepat saya pilih pesawat.

“Tak bermakna kalau jadi artis tak boleh guna tren dan pengangkutan awam lain. Saya sama saja macam orang lain yang selesa memilih naik kemudahan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, semalam.

Kongsi penyanyi yang mendapat gelaran King of Smule itu lagi, secara peribadi dia adalah seorang individu yang selesa berjimat berbanding membeli barangan tidak perlu.

Katanya, sikap berhemat yang diamalkan sejak dahulu mampu mengelakkannya daripada terjebak ‘trend’ anak muda masa kini yang meletakkan kereta mewah sebagai lambang status.

“Kalau menaiki kereta dengan wanita, saya yang akan ambil alih tugas memandu. Adik perempuan saya sampai merayu ingin saya duduk di kerusi penumpang saja sebab dia tiada peluang bawa saya ke mana-mana.

“Jadi tidaklah bermakna saya langsung tak tahu memandu atau enggan berada di kerusi pemandu. Cuma saya belum berkehendak kereta mewah buat masa ini,”
katanya yang dua kali menjuarai perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Mengenai persediaan konsert yang bakal berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), 12 Februari depan, katanya kini fasa pemilihan 15 dendangan sudah bermula.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin 28, memaklumkan mengikuti rejim senaman bagi menjaga kesihatan dan mengekalkan stamina selain mendapatkan khidmat guru vokal.

“Ada sebulan lagi untuk membuat persiapan. Sekarang kami sudah dalam fasa pemilihan 15 lagu yang bakal didendangkan dan pada masa sama saya turut meminta peminat menyenaraikan seleksi pilihan masing-masing untuk dipertimbangkan.

“Hakikatnya memang rasa teruja dan gementar bercampur baur apatah lagi sebelum ini peminat yang ternantikan perkembangan perancangan konsert terawal dulu kecewa selepas ia dibatalkan.

“Apabila rezeki ini datang, saya anggap ia pembuka tirai 2022 yang manis. Seperti mereka, saya juga tidak sabar beraksi secara langsung di hadapan penonton selepas sekian lama ‘berehat’ berikutan fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Konsert yang dipancarkan secara virtual ini juga diharap dapat memenuhi kepuasan ramai yang sudah tertunggu-tunggu sekian lama. Lebih bermakna, konsert itu akan disertai dua penyanyi jemputan iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi,” katanya lagi.

Pada masa sama Nova Music mengesahkan 300 tempat duduk habis ditempah dalam tempoh beberapa jam jualan dibuka namun tiket menonton secara virtual sudah mula ditawarkan pada harga serendah RM19.90.

Terdahulu, perancangan konsert pertama Khai bersama penganjur lain yang sepatutnya diadakan Mac tahun lalu terpaksa dibatalkan berikutan situasi Covid-18 selepas ditunda beberapa bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI