NAMANYA jarang menjadi sebutan umum, tiada juga kontroversi yang membakar kisah sensasi. Malah berbual dengannya hampir sejam juga tidak timbul rasa kekok mahupun janggal.
Itulah dia Che Puan Juliana Evans yang kekal membumi walaupun menjadi suri hati kepada seorang kerabat diraja, iaitu Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah.
Pernah popular menerusi filem Kami, wanita berusia 33 tahun itu mengakui memang sudah jarang muncul dalam mana-mana naskhah mahupun program televisyen.
Bukan kerana sudah ‘pencen’ daripada radar dunia glamor, namun aktres yang mesra disapa sebagai Jue itu memilih untuk lebih selektif dalam proses pemilihan karakter yang hendak dijayakannya. Tidak salah menjadi selektif asalkan seiring dengan portfolio peribadi.
Pilihan
“Saya masih ada dalam industri, mungkin nama sedikit sepi kerana banyak memberi fokus kepada bidang perniagaan dan keluarga.
“Entah kenapa ramai orang menyangka sejak saya berkahwin, saya sudah tidak aktif lagi di bidang ini. Namun, ini bidang jiwa saya dan akan terus mencintainya sepenuh hati,” luah Jue bersama HibGlam baru-baru ini.
Jue juga tidak menolak andai dicop sebagai cerewet berhubung penerimaan watak dan naskhah yang hendak dijayakannya.
Baginya, memilih watak bukan disebabkan berasa diri sudah memasuki taraf ‘diva’, sebaliknya pendekatan sebegitu diambil seiring dengan jadual kehidupan sebagai isteri dan ibu.
“Jika bercakap soal memilih, sejak dahulu lagi saya memang cerewet untuk terima tawaran berlakon mana-mana filem atau drama.
“Namun sekarang naluri cerewet tersebut semakin mendalam kerana kali ini saya hanya akan terlibat dalam naskhah yang lebih kritis.
“Kalau boleh, naskhah yang boleh memartabatkan maruah golongan wanita seperti dalam filem televisyen, Sa Balik Baju baru-baru ini.
“Memartabatkan kaum wanita dan mengetengahkan isu-isu semasa antara yang akan menjadi perhatian saya dalam proses menerima mana-mana tawaran lakonan,” ujar anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu.
Sepanjang perkongsian, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu sempat meluahkan kekecewaan terhadap segelintir individu yang gemar mempertikaikan kejayaan yang dimiliki orang lain.
Ujar Jue, situasi tersebut kerap dialami kerana sering dihujani dengan kata-kata sindiran, konon-kononnya segala kejayaan atau pencapaian dalam kehidupan peribadinya ketika ini mampu diraih kerana kecantikan paras rupa yang dimiliki.
“Saya paling benci mendengar orang cakap, memanglah awak boleh berjaya kerana memiliki wajah yang cantik.
“Semua itu tidak benar pun sebab semua kejayaan atau apa sahaja yang dimiliki hari ini kerana titik peluh sendiri sehingga sanggup mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja suatu ketika dahulu.
“Jadi tolonglah berhenti mempersoalkan setiap perkara yang dimiliki seseorang. Buanglah sifat dengki atau suka menghakimi hidup orang lain,” tuturnya lagi.
Dalam isu sama, dia juga mengaku lambakan media sosial hari ini turut menjadi satu platform toksik kepada orang jika disalah guna.
“Saya sendiri tidak setuju dengan segelintir orang yang menunjuk-nunjuk soal kehidupan dalam media sosial
“Bagi saya, pada musim pandemik ketika ini, ramai yang sedang menghadapi pelbagai masalah dan kekurangan dalam hidup, tapi ada sahaja golongan ‘kayangan’ yang tidak sensitif dengan menayangkan kemewahan mereka.
“Jadi, seharusnya jadilah individu yang memahami dan empati terhadap kehidupan orang lain.
“Gunalah media sosial sebaik-baiknya,” pesan Jue.
Bercerita tentang penghargaan yang baru diterima apabila tersenarai sebagai antara individu paling berjaya di Malaysia bagi tahun 2021 menurut sebuah ensiklopedia biografi terbitan BritishPedia tahun lalu, bintang filem Hantu Bonceng itu mengakui terkejut.
Paling berjaya
“Memang terkejut sebab saya pun tidaklah terlalu aktif dalam kerjaya seni sejak beberapa tahun ini.
“Mungkin nama saya tersenarai kerana perniagaan barangan perhiasan wanita, Jevans Jewelry yang sedang diusahakan.
“Ini semua rezeki Tuhan dan saya menerimanya dengan berlapang dada,” katanya.
Biarpun telah melakar sejarah sendiri, Jue atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans nekad untuk terus memberi inspirasi kepada ramai individu termasuklah usahawan muda.
Katanya, usahlah peduli kata-kata negatif orang sekeliling sehingga boleh menjatuhkan semangat untuk menempa kejayaan.
“Sejak dahulu, saya sematkan dalam diri bahawa tidak perlu mengambil peduli semua kritikan masyarakat yang suka menghakimi kehidupan orang lain.
“Nasihat saya ialah fokus terhadap diri sendiri. Tidak perlu dihebohkan kepada umum mengenai setiap perkara yang dilakukan sehinggalah ada pihak yang benar-benar mengiktiraf hasil kerja kita,” ujarnya yang pernah tersenarai sebagai antara 100 wanita paling tercantik di dunia untuk tahun 2020.