PETALING JAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan beliau tidak pernah menyatakan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersalah dalam isu pemilikan sejumlah saham.
Beliau yang turut dikenali sebagai Dr. Maza berkata, saranannya supaya SPRM dirombak sebelum ini kerana mempertikaikan agensi pencegahan rasuah tersebut membuat keputusan awal Azam tidak bersalah.
“Saya tidak pernah menyatakan beliau bersalah. Saya mempertikaikan mengapa mereka (SPRM) membuat keputusan awal tidak bersalah dan kemudian kata siasatan akan dibuat.
“Mereka adalah badan pencegahan rasuah yang akan diamanahkan (menyiasat) kes itu telah mengeluarkan satu surat bahawa beliau (Azam) telah menjadi mangsa politik dan di hujung (surat) baru kata satu siasatan akan dibuat secara bebas. Apa maknanya ini?,” katanya dalam satu wawancara yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
SPRM menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi baru-baru ini memberi sokongan penuh terhadap Azam dan berpendirian tohmahan dan serangan dibuat terhadap pemimpin utama agensi itu bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej serta kredibiliti SPRM.
Terdahulu, Mohd. Asri berkata, beliau mencadangkan agar SPRM dirombak sebelum ini kerana agensi itu yang akan bertanggungjawab untuk membuat siasatan berhubung perkara tersebut.
“Tetapi jika mereka dari awal telah membuat keputusan bahawa ini semua serangan bersifat politik. Bagaimana kita hendak serahkan satu siasatan bebas di tangan mereka.
“Kalau ada trend demikian membuat kesimpulan awal sebelum siasatan dibuat, maka keraguan rakyat akan timbul. Ini merupakan perkara yang serius. SPRM merupakan nadi keyakinan rakyat terhadap integriti negara ini,” jelasnya. – K! ONLINE