BERUAS – Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di pekan Pantai Remis, dekat sini awal pagi tadi.
Mangsa, Lee Cherch Sian, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan tubuhnya.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari Panchor yang terletak di Jalan Pantai Remis-Taiping ke pekan Pantai Remis.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Amir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.51 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu.
“Saya bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat sebuah pikap jenis Toyota Hilux melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diparkir berhadapan premis Maybank Cawangan Pantai Remis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihaknya menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang memandu seorang diri itu.
Beliau memberitahu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE