fbpx

40 ekor monyet curi tanaman, ‘pecah masuk’ rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLUANG – Kira-kira 1,500 penduduk Felda Ayer Hitam di sini bukan sahaja diganggu anjing liar, malah diancam monyet yang turut memusnahkan tanaman mereka sejak beberapa tahun lalu.

Seorang penduduk, Zainal Ab­dul Aziz, 47, berkata, sejak kawasan di sekitar kampung itu dibersihkan untuk projek penanaman semula getah dan kelapa sawit, monyet-monyet yang kehilangan sumber makanan mula memasuki kebun serta rumah mereka.

Dakwanya, penduduk sudah banyak kali membuat aduan mengenai masalah itu kepada pihak berwajib, namun hampa kerana tiada langkah penyele­­sai­an terbaik yang dilakukan.

“Terdapat kira-kira 40 ekor monyer di kampung ini yang menimbulkan masalah apabila memasuki rumah penduduk. Binatang itu juga berani menyergah penghuni yang hendak keluar dari rumah.

“Pokok pisang, serai, betik, nanas dan ubi yang ditanam di sekeliling rumah juga dirosakkan oleh monyet-monyet itu. Masalah ini sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

“Pada tahun lalu, seorang wanita berusia 50-an di kampung ini pernah cedera akibat terjatuh hingga terpaksa menerima jahi­tan gara-gara dijerkah monyet,” katanya ketika ditemui semalam.

Yusof Saad, 69, pula berkata, pihak berkuasa ada memasang perangkap monyet sekitar Oktober tahun lalu, tetapi masih tidak berjaya untuk memerangkap kawanan monyet terbabit.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab memandang berat masalah ini kerana penduduk sudah lama diselubungi kebimba­ngan setiap kali monyet-monyet itu muncul.

“Masalah anjing liar yang sudah lama berlaku juga perlu di­selesaikan kerana semakin hari, semakin banyak.

“Kami sebagai penduduk memang rasa resah dengan keha­diran binatang liar ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI