LONDON – Sekalipun gagal merealisasikan misi ke final Piala Liga Inggeris (EFL), pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte tetap memberikan kredit kepada pemainnya yang berjaya menyerlahkan kemampuan sebenar pasukan.
Spurs terpaksa berputih mata dengan kekalahan agregat 0-3 kepada Chelsea selepas tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Antonio Rudiger pada separuh akhir kedua di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Conte merasakan keputusan itu tidak seiring dengan prestasi yang mereka tampilkan di atas padang apabila anak-anak buahnya beraksi jauh lebih baik menerusi 15 percubaan ke gawang Chelsea.
Skrip perlawanan juga pastinya berbeza jika Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak menjadi ‘pengacau’ selepas ia menafikan dua sepakan penalti yang sepatutnya diraih Spurs selain membatalkan jaringan Harry Kane atas alasan ofsaid.
“Chelsea memang berhak untuk ke final. Namun, saya fikir pada perlawanan ini, kami sebenarnya berhak untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
“Kami mencipta banyak peluang dan pemain juga beraksi dengan intensiti serta menunjukkan kemahuan tinggi supaya kami tidak kalah. Saya tidak suka gunakan perkataan ini tetapi kami tak bernasib baik apabila dua penalti dinafikan dan pembatalan gol oleh VAR.
“Kami kekal mencuba untuk mencipta peluang menjaringkan gol tetapi akhirnya kami terpaksa menerima hakikat bahawa Chelsea lebih berhak ke final,” kata Conte. – AGENSI