Rakam ucapan terima kasih atas penghormatan yang diberikan kepada mendiang
Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
ANAK lelaki kepada mendiang Serbegeth Singh yang turut dikenali sebagai Shebby Singh memaklumkan keluarganya terharu dengan penghormatan dan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat negara ini terhadap kejadian yang menimpa bapanya.
Sonuljit Singh, 32, bagaimanapun berkata, dia mewakili keluarga meminta semua pihak memberi ruang kepada mereka dalam berdepan kejadian yang cukup menyedihkan itu.
“Saya dan keluarga berterima kasih kepada semua khususnya kasih sayang dan penghormatan yang ditunjukkan di media sosial, itu satu perkara yang baik untuk dilihat.
“Saya juga berharap semua pihak dapat memberi kami ruang untuk berdepan keadaan ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru semalam.
Sonuljit berkata, mayat mendiang Shebby Singh, 62, bakal dibawa ke Kuala Lumpur untuk diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi.
“Mayat mendiang akan diuruskan secara cremation, jadi pada masa ini keluarga sudah buat keputusan untuk membawa mayat mendiang ke Kuala Lumpur.
“Kerana lebih 40 tahun dia menetap di sana, membina karier dan bermain bola sepak di sana, jadi kesemua majlis akan diadakan di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Difahamkan, selepas tamat proses post-mortem, mayat mendiang akan dibawa untuk dibersihkan di Taman Nesa, Skudai sebelum dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.
Sementara itu, adik ipar mendiang, Kuldit Singh, 60, memberitahu, semua ahli keluarga terkejut dengan berita berkenaan kerana mendiang diketahui sebagai seseorang yang amat menjaga kesihatan fizikalnya.
“Memang kami terperanjat dengan berita ini, kerana dia amat sihat orangnya, dia sentiasa bermain basikal dan fitness level dia juga kita tahu, jadi berita itu amat mengejutkan.
“Sedih sudah pasti dan ketika ini kami seperti masih tidak percaya, ia agak sukar untuk diterima,” ujarnya sambil memberitahu mendiang aktif berbasikal sejak kembali menetap di Johor Bahru kira-kira tujuh tahun lepas.
Dalam pada itu, rakan mendiang, Rajwinder Singh, 60, pula berkata, kehilangan Shebby Singh pasti akan dirasai komuniti sukan khususnya sukan bola sepak di negara ini.
“Saya mengenali beliau sejak muda lagi ketika bersama-sama di Kluang, dia memang seorang ahli sukan, selepas sukan bola sepak, sukan berbasikal memang aktiviti pilihan.
“Sebagai kawan, dia memang seorang rakan yang sangat baik, sebagai pemain bola sepak, dia pemain yang sangat baik, juga kapten yang bagus.
“Kami juga terkejut dengan berita ini, bukan sahaja rakan dan keluarga, tetapi komuniti Sikh dan juga komuniti sukan pasti akan rasa kehilangan,” ujarnya.
Semalam, Shebby Singh dilaporkan maut ketika berbasikal di Sunway Iskandar, Iskandar Puteri sekitar pukul 7 malam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.
Mendiang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 1982 hingga 1991 dan telah beraksi pada sukan Asia di New Delhi pada 1982, sukan Asia di Seoul pada 1986 dan sukan Asia di Beijing 1990.
Selain itu, Shebby turut berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur pada tahun 1989.
Mendiang yang berasal dari Johor itu turut pernah menyarung jersi Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur selain bergiat aktif sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa.