KOTA BHARU – Sudah jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan itu sesuai digunakan bagi menggambarkan mengenai kehidupan seorang gadis yang bukan sahaja kehilangan ibu tercinta, malah perlu berhenti kerja bagi menjaga bapanya yang terlantar akibat angin ahmar.
Lebih tertekan apabila Che Siti Nuraniza Che Hussin, 23, perlu menjaga adik bongsunya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) di dalam rumah yang usang akibat dimamah anai-anai di Kampung Lembu, Nilam Baru di sini.
Katanya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya sejak sebulan lalu apabila bapanya, Che Hussin Ibrahim, 63, langsung tidak boleh bergerak akibat penyakitnya itu.
“Sebelum ini, dua adik kembar, Che Muhammad Alif Iskandar dan Che Siti Nur Maisarah, 17, hanya fokus menjaga adik bongsu, Che Siti Nor Hidayah, 15, yang cacat sejak ibu meninggal dunia enam tahun lalu.
“Keadaan mula berubah apabila bapa diserang angin ahmar. Dia menghidap kencing manis, darah tinggi dan sakit tulang belakang akibat terjatuh ketika sedang membaiki rumah kami beberapa tahun lalu dan kesihatannya mula merosot,” katanya.
Tambahnya, dia tidak mahu membebankan dua adik kembarnya kerana mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini dan mengambil tanggungjawab menjaga bapa dan adik bongsunya hingga terpaksa berhenti kerja sebagai jurujual.
Menurut Che Siti Nuraniza, sebelum ini mereka bergantung kepada pendapatan bapa sebagai tukang rumah dan arwah ibu yang berniaga kecil-kecilan.
“Kami menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan dan tidak mampu lagi membeli lampin pakai buang untuk adik dan bapa kerana tiada kerja,” katanya.
Prihatin dengan nasib menimpa keluarga itu, Pengerusi Yayasan Amal Wisma Datuk Zul, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad menyampaikan sumbangan RM800 dan barangan keperluan yang dianggarkan bernilai hampir RM1,000 baru-baru ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank CIMB Che Nuraniza Che Hussin, 7063580662 atau hubunginya di talian 018-912 0143.