LOS ANGELES – Selepas 16 tahun hidup bersama, aktor filem Aquaman, Jason Momoa mengumumkan perceraiannya dengan isteri yang juga aktres, Lisa Bonet.
Berita perpisahan tersebut dikongsikan sendiri Momoa, 42, menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, @prideofgypsies, semalam.
Dalam hantaran tersebut, Momoa berkata kehidupannya bersama isteri juga sama seperti orang lain dan tidak terlepas dengan perubahan.
“Semua orang berdepan dengan pelbagai perubahan dalam tempoh masa penuh dugaan ini.
“Keluarga kami juga tidak terlepas daripada berdepan dengan pelbagai perubahan itu.
“Jadi, kami ingin kongsikan berita bahawa perkahwinan kami kini telah sampai di penghujungnya,” tulis Momoa.
Bagaimanapun, pelakon kelahiran Honolulu, Hawaii itu bertindak menutup ruangan komen pada hantaran tersebut.
Walaupun telah bercerai, pelakon itu berkata cinta antara mereka tetap akan kekal dengan cara berlainan untuk dirasai bersama-sama.
Sekadar info, Momoa berkenalan dengan Bonet, 54, pada tahun 2005 dan berkahwin pada penghujung tahun 2017. Sepanjang hidup bersama, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata. – K! ONLINE