Oleh ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU- Seorang pemilik bengkel servis alat pendingin hawa kenderaan mengalami kerugian hampir RM150,000 apabila premis dua tingkat yang disewanya musnah dalam kebakaran di Chicha, Jalan Pasir Puteh, dekat Kubang Kerian, malam tadi.
Selain premis itu, sebuah bengkel motosikal yang terletak bersebelahan turut hangus terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu.
Pemilik bengkel pendingin servis pendingin hawa, Mohd. Afandy Omar berkata, ketika kejadian, dia tiada di bengkel berkenaan kerana balik ke rumahnya di Kampung Beris Kubur Besar dekat Bachok.
Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi oleh jiran yang tinggal di belakang bengkelnya selepas melihat api mula bermula dari tingkat bawah bengkel motosikal.
“Sebaik menerima panggilan, saya bergegas datang ke kedai untuk menyelamatkan barangan yang ada di dalam bengkel.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api ketika itu sedang marak dan hampir keseluruhan bengkal saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Mohd. Afandy berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian tiada kereta pelanggan yang ditinggal di dalam bengkelnya.
Katanya, dia yang menyewa di kedai itu sejak tujuh tahun lalu mengalami kerugian yang banyak selepas baru sahaja membeli stok peralatan membaiki pendingin hawa bulan lepas hampir RM50,000.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pasir Tumboh, Ei Taraff Mohd. Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.13 malam.
Beliau berkata, anggota bomba bergegas keluar dengan sebuah jentera dengan bantuan jentera dari Balai Kota Bharu dan Tunjong untuk memadam kebakaran dengan kekuatan anggota seramai 30 orang.
“Kerja-kerja memadam kebakaran selesai kira-kira pukul 3.10 pagi dan kerugian keseluruhan masih dalam siasatan,” ujarnya. -K! ONLINE