fbpx

Jual mercun tanpa permit di kawasan kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazri

KLANG – Musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina digunakan segelintir individu mencari pendapatan sampingan dengan menjual mercun khususnya di kawasan kampung sekitar daerah ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, ini berdasarkan risikan pihaknya apabila mercun-mercun berkenaan dijual secara haram atau tanpa permit.

Katanya, jualan hanya dilakukan kepada pelanggan yang dikenali dengan urusniaga dilakukan menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.

“Mereka tidak akan menjual secara terang-terangan ekoran pemeriksaan sering dilakukan pihak berkuasa termasuk Unit Risikan Marin (URM) PPM sini.

“Harga pula dijual berpatutan asalkan stok mereka habis dibeli para pembeli dikenali,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Beliau memberitahu, berdasarkan rekod PPM Pelabuhan Klang berjaya merampas sejumlah mercun bernilai RM75,000 menjelang hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu.

Ujarnya, rampasan itu dilakukan di sebuah premis dengan menangkap seorang lelaki berusia 30-an dengan siasatan dilakukan Akta Bahan Letupan 1957.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mercun itu diperoleh daripada sindiket tertentu dengan suspek akan menyenaraikan mercun yang ada dalam stok kepada pembeli.

“Suspek hanya menjual pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali,” jelasnya.

Jelas beliau, pihaknya akan terus melakukan rondaan, risikan dan operasi dalam mengekang penyeludupan dan penjualan mercun tanpa permit itu. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI