PORT DICKSON – Bangkai seekor buaya tembaga matang seberat kira-kira 100 kilogram (kg) ditemukan di Pantai Cermin, di sini, pagi ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan negeri, Nurul Ermi Ramli berkata, buaya jantan sepanjang dua meter itu dianggarkan sudah mati satu atau dua hari lalu.
Menurutnya, kira-kira pukul 9.10 pagi, pejabat Perhilitan Daerah Seremban telah menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Port Dickson berkaitan penemuan bangkai seekor Buaya Tembaga.
“Satu pasukan dari Perhilitan Daerah Seremban dibantu oleh pejabat Pusat Pendidikan Biodiversiti (PPBD) Tanjung Tuan, Melaka telah digerakkan ke lokasi aduan bagi tindakan selanjutnya.
“Bangkai buaya tersebut dibawa ke pejabat Perhilitan untuk proses post-mortem bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K! ONLINE.