KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas sebuah bangunan kedai di Jalan Datuk Haji Yusoff Off Jalan Ipoh terbakar petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu turut melibatkan 11 lagi mangsa yang terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, dua wanita dan dua kanak-kanak.
Kesemua mereka telah berjaya diselamatkan anggota bomba.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.30 petang.
“Seramai 46 anggota bersama 9 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Hang Tuah, Sri Hartamas, Keramat, Bandar Tun Razak dan Pantai telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran dipercayai berlaku di salah sebuah bilik di tingkat 1 bangunan empat tingkat tersebut. Kebakaran tersebut memusnahkan hampir 85 peratus rumah kedai berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, salah seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur akibat sesak nafas.
“Seramai 9 mangsa termasuk mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala selebihnya menolak untuk di hantar ke hospital.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.01 petang dan padam sepenuhnya kira-kira 50 minit kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE