REMBAU – Hasil tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah teres daripada musnah terbakar dalam kejadian berlaku di Taman Seri Bidara, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian berkenaan sepasukan anggota bomba dari dua buah balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.46 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Arif Ahmad Osasi, pihaknya tiba di lokasi yang terletak sejauh lebih 12 kilometer pada pukul 5 petang.
“Sebaik tiba, terdapat kebakaran di bahagian bilik stor yang menempatkan pelbagai barang termasuk barangan elektrik. Kebakaran berjaya dikawal dan kita anggarkan kebakaran membabitkan kediaman konkrit berkenaan sekitar 20 peratus.
“Punca kebakaran sama ada berpunca dari barangan elektrik atau sebagainya masih dalam siasatan. Dalam kejadian ini juga tiada penghuni yang cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-K! ONLINE