PETALING JAYA – Lelaki yang mendapat jolokan nama Abang Viva bersyukur apabila menerima sebuah motosikal berkuasa tinggi hari ini dan sangat menghargai hadiah yang diberikan oleh insan misteri tersebut.
Abang Viva atau nama sebenar, Azwan Omar, 30, melahirkan rasa syukur dan seronok serta menganggap pemberian tersebut sebagai satu bentuk perhargaan terhadap segala usaha beliau menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas.
“Rasa gembira dapat motor hari ini. Insya-allah, bila dah dapat motor baru ini, akan mempermudahkan lagi urusan saya walaupun belum terfikir lagi dari segi perancangan menggunakan motor ini menjalankan misi seterusnya.
“Tapi buat masa sekarang saya akan gunakan untuk pergerakan ke tempat kerja secara harian,” katanya ketika dihubungi KOSMO sebentar tadi.
Sementara itu, menyentuh berkenaan penerimaan kenderaan ‘4X4’ yang ingin dihadiahkan oleh seorang usahawan, Azwan tidak melihat ia sebagai satu isu yang perlu dibangkitkan dan telah menerima tawaran pemberian kenderaan tersebut.
“Bagi saya hak masing-masing untuk berkata di media sosial yang mempunyai pelbagai tanggapan niat seorang individu ingin menghadiahkan saya kenderaan ‘4X4’ tersebut.
“Saya dah bincang dengan secara elok dengan pihak yang ingin memberi, tiada sebarang masalah, saya tidak menolak. Saya minta netizen jangan salah faham. Insyaallah, saya dah terima, tapi belum dapat lagi,” jelasnya lagi.
Tambahnya, beliau kini dalam persediaan meneruskan misi bantuan untuk sebuah program golongan yang memerlukan di Kuala Lumpur malam ini. – K!ONLINE