MANCHESTER – Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengakui bingung memikirkan aksi terumbang-ambing yang ditampilkan penyerangnya, Marcus Rashford sejak kebelakangan ini.
Bintang antarabangsa England itu baru menjaringkan tiga gol sepanjang saingan musim ini dan turut dilihat gagal memberikan impak kepada The Red Devils ketika menang 1-0 ke atas Aston Villa pada pusingan ketiga Piala FA kelmarin.
Justeru, Rangnick menyuarakan kebimbangannya terhadap aksi hambar Rashford meskipun penyerang berusia 25 tahun itu dilihat sentiasa bekerja keras dalam setiap perlawanan dan juga sesi latihan.
“Secara jujur, saya tidak tahu mengapa dia (Rashford) dilihat sangat bergelut setiap kali diturunkan. Dia sentiasa bekerja keras, sebab itu saya beri peluang kepadanya untuk bermain.
“Walaupun tidak bermain seperti yang diharapkan tetapi dia turut membantu pasukan beberapa kali untuk melakukan serangan. Pemain-pemain lain juga bekerja keras untuk membantunya di atas padang,” kata pengendali dari Jerman itu.
Bagaimanapun, beliau tetap menaruh sepenuh kepercayaan kepada Rashford untuk kembali menemui sentuhan berbisa sekiranya dia dapat menamatkan kemarau jaringan dalam perlawanan akan datang.
“Saya tidak terlalu bimbang dengan kemarau gol dihadapi Rashford ketika ini asalkan dia sentiasa tampilkan aksi terbaik. Saya percaya sentuhannya akan kembali jika dia mula jaringkan gol seperti biasa,” ujar Rangnick. – AGENSI