PENYERANG import baharu Selangor FC, Herlison Caion mula melaungkan amaran awal untuk mengajar erti bola sepak sebenar kepada pasukan pencabar lain pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Bagaimanapun, Caion menegaskan, segala kerja keras pemain tidak akan bermakna tanpa keyakinan dan sokongan daripada penyokong setia Gergasi Merah.
“Saya suka buat kerja tambahan untuk pastikan fizikal saya berada dalam keadaan terbaik dan saya juga seorang kawan yang akan sentiasa ada untuk bantu rakan-rakan sepasukan. Saya seorang pemain yang memiliki kekuatan fizikal serta kelajuan.
“Saya boleh bermain sebagai penyerang, sayap kiri dan kanan, namun saya tidak kisah untuk beraksi di mana-mana posisi sekali pun. Apa yang penting, penyokong perlu terus yakin kepada pasukan ini.
“Jika mereka yakin, saya juga akan yakin bahawa pasukan ini mampu bersaing dan meraih sesuatu yang bagus. Percayakan saya yang kami akan buat sehabis baik untuk pastikan penyokong gembira,” katanya yang menjadikan Adriano sebagai idolanya.
Ketika bersama bekas kelabnya di Liga Divisyen 2 Thailand, Muangkan United, Caion jelas memiliki reputasi hebat sebagai penyerang apabila meledak 12 gol dalam 17 penampilan termasuk jaringan terakhirnya ketika seri 2-2 dengan Trat FC, 27 November lalu.
Pemain kelahiran Caxias, Brazil ini menjelaskan, bekas import Selangor, Paulo Rangel menjadi individu terpenting kepada dirinya membuat keputusan untuk mengembangkan karier ke Malaysia.
“Sebenarnya saya tahu serba sedikit mengenai kelab ini sebab saya pernah bermain bersama Paulo Rangel. Kelab ini memiliki sejarah yang baik dengan memenangi banyak kejuaraan. Saya yakin kelab ini akan dapat lebih banyak kejayaan,” katanya.