SHAH ALAM – Sedikit senyuman terpancar di wajah kalangan mangsa banjir di sekitar Shah Alam setelah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diberikan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! menzahirkan kesyukuran setelah menerima wang tunai sebanyak RM1,000 melalui bantuan tersebut, sekali gus meringankan beban tanggungan di sebalik bencana banjir besar yang berlaku pada bulan Disember lalu.
Salah seorang penerima Norafeezah Sairi, 39, berkata, dia akan menggunakan wang bantuan tersebut untuk membaiki rumah dan juga rumah ibunya, Saudah Mat Yusop, 73.
“Ibu juga ada menerima BWI tetapi akan digunakan untuk membuat pendawaian elektrik kerana rumahnya rosak teruk.
“Saya akan segera memanggil kontraktor untuk membaiki masalah ini kerana bekalan elektrik penting untuk melancarkan aktiviti harian,” katanya ketika ditemui di Dewan Kenanga, Seksyen 28 dekat sini kelmarin.
Dewan Azalea, Seksyen 25, Sri Muda dan Dewan Kenanga telah menjadi tumpuan kira-kira 2,500 mangsa banjir untuk menerima BWI mengikut sistem temu janji yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Seawal 8.30 pagi, penerima bantuan sudah mula beratur dengan sabar mengikut prosedur operasi standard (SOP) menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan masing-masing.
Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, seramai 1,500 mangsa banjir hadir di Dewan Azalea dan 1,000 lagi mangsa banjir berada di Dewan Kenanga untuk menerima BWI dan sebahagiannya pula menerima Bantuan Pembelian Barang Keperluan (BPBK) berjumlah RM2,500.
“Program BWI di Selangor akan terus dijalankan sehingga semua pemohon menerima wang bantuan itu,” jelasnya.
Sementara itu, seramai 1,007 mangsa banjir telah berkunjung ke Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat untuk menerima bantuan wang tunai RM1,000 dan juga BPBK.
Menurut Pengarah Pembangunan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Selangor, Datuk Rosli Isa, ini adalah pemberian BWI fasa kedua di daerah berkenaan yang mana bagi fasa pertama kira-kira 97 peratus daripada kumpulan sasaran telah menerima bantuan masing-masing.
“Jumlah mangsa di luar Pusat Penempatan Sementara (PPS) adalah seramai 64,671 orang. Bagi mereka yang tidak dapat hadir pada hari ini (kelmarin), wang tersebut akan dihantar terus kepada mereka.
“Kami memberi jaminan bahawa bantuan tersebut akan diserahkan secepat mungkin dalam tempoh seminggu atau dua,” jelasnya.
Seorang lagi penerima bantuan tersebut, Mat Said Sudin, 63, berkata, dia akan menggunakan wang tersebut untuk membeli peralatan bagi meneruskan perniagaan kateringnya yang terpaksa ditangguhkan.
Peralatan baharu itu akan dapat membantu dia dan keluarga menambah pendapatan bulanan.
Menurutnya, air bah yang naik begitu cepat telah menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan semua peralatan tersebut.
“Selain peralatan katering, saya juga kerugian hampir RM100,000 merangkumi kerosakan perkakasan rumah dan dua buah kenderaan,” jelasnya yang sudah 20 tahun tinggal di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.
Sementara itu, warga emas Mohd Ariffin Jusoh, 73, yang pertama kali berdepan dengan bencana banjir berkata, dia telah membuat permohonan minggu lepas dan berasa bersyukur kerana proses pemberian bantuan begitu cepat dan lancar.
“Saya sudah tua dan tiada keluarga di sini. Bantuan ini meringankan beban kewangan untuk membaiki rumah yang rosak.
“Saya akan lalui hari tua dengan lebih tenang dalam rumah yang dibaik pulih selepas ini,” ujar Mohd. Ariffin lagi.-K! ONLINE