PETALING JAYA – Padah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), dua tahun lepas, seorang peniaga didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Ooi Hang Sheng, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan disabitkan ke atasnya.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan dan OKS membayar jumlah denda itu.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa menjual tujuh unit Android TVBOX pelbagai jenama tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di sebuah pasar raya di Damansara Uptown, di sini pukul 12.30 tengah hari pada 9 Julai 2020.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman, Norshila bertanya kepada OKS mengenai harga kelengkapan (Android TVBOX) yang dijualnya dan lelaki itu menjawab, menjual antara RM200 dan RM300.
“Saya tidak tahu ini adalah salah. Saya berjanji tidak akan buat lagi,” kata OKS itu.
Dalam pada itu, hakim tersebut turut menasihati OKS supaya tidak lagi menjual barang-barang yang tiada perakuan.
Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd. Zameri memohon mahkamah mengenakan denda setimpal kerana ini kesalahan kali pertamanya.
Namun OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan atas alasan dia menanggung keluarga serta menyesal dengan perbuatan dilakukan. -K!ONLINE