PASIR MAS – Program Rintis Pembaikan Rumah Pasca Banjir 2022 bakal melibatkan pemberian bantuan kepada 10 pemilik rumah yang rosak selepas dilanda banjir pada pertengahan bulan Disember lalu.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Ruji Ubi berkata, mangsa banjir di Pasir Mas merupakan penerima terawal di negara ini yang menerima bantuan daripada program tersebut melalui senarai nama Bantuan Wang Ihsan (BWI).
Menurutnya, pelaksanaan bantuan itu dijalankan secara berperingkat menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Program ini fokus kepada tiga kategori iaitu melibatkan kerosakan di bawah RM5,000 yang akan dibayar secara tunai, kos baik pulih rumah sebanyak RM15,000 dan pembinaan rumah baharu yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
“Program ini sudah bermula sejak Isnin lalu di beberapa kawasan di Klang, Selangor, Melaka dan Bentong, Pahang dengan melibatkan BWI sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) selain bantuan makanan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaian Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Kepada Mangsa Banjir di Kampung Putat Tujuh, Rantau Panjang di sini kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembayaran inisiatif bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di negara ini.
Bantuan tersebut melibatkan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 kepada mangsa banjir.
Mengulas lanjut, Ruji berkata, sekiranya kos baik pulih rumah mangsa banjir kurang RM5,000, bantuan itu diberikan secara tunai dan penerima boleh mencari tukang rumah mereka sendiri.
Bagi kos baik pulih antara RM5,000 hingga RM15,000 pula, pihak ICU JPM akan melantik kontraktor yang telah disenarai pendek dan dinilai terlebih dahulu oleh PKOB.
“Maklumat mengenai keseluruhan penerima dalam Program Rintis Pembaikan Rumah Pasca Banjir 2022 sudah hampir siap termasuk mangsa banjir di Kelantan dan Sabah.
“Sehingga kini, masih ada beberapa negeri lagi yang masih belum lengkap senarai penerimanya.
“Di Kelantan, program ini melibatkan kawasan Pasir Mas hingga Rantau Panjang iaitu Kampung Bukit Tandak, Kampung Tok Deh, Kampung Putat Tujuh dan beberapa lagi kawasan yang terlibat banjir baru-baru ini,” katanya.
Menurut Ruji, berdasarkan maklumat, dua negeri paling terkesan semasa bencana banjir hujung tahun lalu adalah Pahang dan Selangor
Menurutnya, kedua-dua negeri itu menjadi negeri tertinggi menerima BWI, manakala Kelantan hanya melibatkan 6,000 KIR termasuk mangsa banjir gelombang kedua.-K! ONLINE