DURASI filem terlalu panjang iaitu hampir tiga jam, naratig bergerak perlahan tetapi Lady Gaga dalam House of Gucci memang terbaik. Dia sememangnya seorang aktres yang benar-benar tahu melunaskan peranan yang dipertanggungjawabkan menerusi watak Patrizia Reggiani.
Gerak tubuh, aksen Itali yang dilontarkan dalam setiap bicara, fesyen dan banyak perihal berkualiti lain yang dicernakan Gaga menjadi tanda aras buat mana-mana pelakon wanita jika ingin berlakon filem. ‘Father, son and House of Gucci’ itu merupakan antara frasa popular 2021 yang melekat di bibir peminat.
Terlalu banyak perkara yang ingin disumbatkan dalam House of Gucci dan buat penulis, Ridley sebagai pengarah menjalankan tugas yang baik, namun akan lebih baik dan setara dengan barisan pelakon elit yang terlibat dalam naskhah berkenaan.
Terfikir andai pengarah lain seperti Christopher Nolan diberi mandat, pasti impaknya berbeza.
Ridley ‘kurang’ menyengat
Ridley sememangnya pengarah yang bagus, namun secara peribadi, zaman supremasinya sudah berlalu dan kali terakhir naskhah berkualiti yang barangkali lahir hasil air tangannya berjudul The Martian (2015). Selepas itu, tidak banyak buah tangannya yang boleh digembar-gemburkan.
House of Gucci dibarisi ramai pelakon ternama seperti Adam Driver, Jared Leto, Salma Hayek dan pelakon legenda, Al Pacino. Malangnya, tidak semua pelakon terlibat dalam filem bergenre drama berkenaan berjaya menonjol.
Cetusan kimia antara Adam Driver yang melakonkan watak Maurizio Gucci dan Gaga sebagai Patrizia layak dilambungkan pujian. Secara peribadi, penulis melihat ‘chemistry’ dicetuskan mereka antara yang terbaik diterjemahkan di layak perak untuk setahun dua tahun ini. Cuma, watak Maurizio dicacatkan dengan perjalanan cerita yang sedikit caramarba.
Entah mengapa, penulis merasakan bahawa filem ini dibikin untuk menonjolkan kehebatan dan supremasi Gaga yang sememangnya cukup berkaliber. Biarpun ‘dihuni’ barisan pelakon papan atas, itu tidak menjanjikan sebuah garapan hebat dan gelombang tersebut yang bergolak dalam kepada House of Gucci.
Jared terlebih, Gaga menyerlah
Terjemahan karakter Paolo Gucci oleh Jared Leto bukan tidak bagus tetapi buat peminat yang sudah menonton filem House of Gucci akan mengerti betapa menyakitkan hati dan berlebih-lebihnya watak yang dijayakan anggota kumpulan Thirty Seconds to Mars itu.
Dari segi luaran, kita semua menghargai bagaimana Jared sanggup disolek, digemukkan dan dibotakkan demi watak Paolo, namun banyak momen bersifat jelik lahir daripada metode lakonan Jared.
Kita pernah tengok Jared menyempurnakan sebuah watak dengan cemerlang menerusi Dallas Buyers Club. Penonton juga menjadi saksi Joker versinya yang cukup untuk membuat banyak orang menggelengkan kepala.
Bagaimanapun, House of Gucci merupakan sebuah naskhah jenama mewah yang sangat ‘over-the-top’ dan dibarisi pelakon-pelakon hebat Hollywood.
Siapa yang mendapat kelebihan daripada peluncuran naskhah ini? Ada seorang iaitu Lady Gaga.
Lady Gaga membuktikan selepas A Star Is Born, dia terus meledak dengan satu lagu kerja seni yang layak diberikan sekurang-kurangnya dominasi Pelakon Wanita Terbaik Oscars. Sekalipun tidak menang kerana banyak calon lain yang semakin memecut, Gaga kalau ikut kehendak anugerah berprestij berkenaan, tidak mustahil akan menerima pencalonan.
Biarpun, jalan cerita House of Gucci agak berjela-jela dengan momentum perlahan, Gaga menemui landasan A Star Is Born dirinya menerusi watak Patrizia Reggiani yang sangat memberikan impak. Lakonan kelas A!