NAMA Tiara Andini mungkin sudah tidak asing lagi bagi pencinta dan pengikut dunia seni hiburan di Indonesia.
Memulakan kerjaya dan dicungkil bakatnya menerusi program realiti popular, Indonesian Idol 2020, masuk tahun ini sebenarnya baru dua tahun pucuk muda itu serius membina nama sebagai penyanyi juga pelakon.
Biarpun masih hijau dan mentah dalam industri, tapi ada satu perkara yang patut dibanggakan tentang Tiara.
Sebagai pendatang yang baharu setahun jagung menerpa industri seni muzik Indonesia, diam tidak diam dia sudah menghasilkan banyak karya yang wajar diberi pujian.
Lagu pertamanya yang dilancarkan pada 28 Februari 2020 berjudul Gemintang Hatiku berhasil mencapai carta Top 100 Spotify Chart pada hari pertama dikeluarkan.
Tidak setakat itu, gadis manis yang mesra disapa sebagai Tiara itu juga berjaya mencatatkan prestasi seninya bukan hanya dalam industri muzik tempatan, bahkan di peringkat Asia.
Tuah setahun jagung
Sebagai bukti, pada tahun 2020, dia berjaya meraih penghargaan sebagai Pendatang Baru Terbaik bagi acara Anugerah Muzik Indonesia (AMI) selain meraih penghargaan Best New Asian Artist dari Indonesia di pentas berprestij Mnet Asian Music Awards (MAMA).
Tidak terhenti di situ, tahun 2021 turut membawa tuah kepadanya apabila dia memenangi kategori Lagu Paling Digemari pada acara Telkomsel Awards menerusi lagu Maafkan Aku, Terlanjur Mencinta dan Pemenang Indonesia Artist of The Year untuk acara JOOX Indonesia Music Awards 2021.
Penghargaan lain yang diraih Tiara juga dapat dilihat pada November 2021 dengan memenangi Album Pop Terbaik (Arti untuk Cinta) daripada enam pencalonan kategori dalam AMI Awards 2021.
Sampai saat ini, jumlah tontonan saluran YouTube Tiara Andini telah ditonton lebih daripada 195 juta kali.
Terbaharu, walaupun tidak sampai dua tahun memahat nama, Tiara tampil dengan sebuah album sulung berjudul Tiara Andini.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya album ini dapat dikeluarkan. Inilah perkara yang saya tunggu-tunggu sejak hari pertama menjadi anak seni.
“Pada saya, ini sebuah hal yang sangat bersejarah, kerana kalau single, sudah beberapa kali saya keluarkan.
“Ini adalah album pertama kalinya sepanjang hidup saya, jadi saya sangat gembira dengan pencapaian ini,” ujar Tiara mengulas mengenai pelancaran album perdananya.
Tambah si cantik berusia 21 tahun itu, album tersebut adalah hasil perjuangannya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi selama menjalani hidup. Dia sangat bersyukur dapat sampai hingga ke tahap sekarang.
Istimewanya, dua hari sebelum album tersebut diluncurkan pada 17 Disember lalu, Tiara sekali lagi memberikan kejutan dan membanggakan para peminatnya selepas berjaya dipilih sebagai Spotify EQUAL Artist Indonesia untuk bulan Disember.
Kerjasama
Penghargaan tersebut sekali gus menempatkan wajah Tiara terpampang di papan iklan digital New York’s Times Square sebagai wakil selebriti dari Indonesia.
Mengulas sedikit mengenai album sulungnya, Tiara memberitahu dia berpeluang bekerjasama dengan beberapa pemuzik dan pencipta karya tersohor .
“Antaranya Yovie Widianto, Laleilmanino, Asta RAN, Handy Soulvibe, Vidi Aldiano dan seorang teman duetnya, Arsy Widianto.
“Album ini dijangka akan menjadi salah satu album paling ditunggu tahun ini, baik untuk para Mootiara (kelab peminat) dan masyarakat luas secara umum.
“Album ini turut menampilkan lapan buah lagu, lima antaranya adalah lagu hits yang telah dikeluarkan sebelum ini, Gemintang Hatiku, Maafkan Aku, Terlanjur Mencinta, Hadapi Berdua dan Buktikan.
“Sementara, tiga lagu tambahan lainnya berjudul Menjadi Dia, Merasa Indah dan Janji Setia,” katanya.
Selain menyanyi, pemilik nama lengkap Tiara Anugrah Eka Setyo Andini itu turut terjun ke dunia perfileman Indonesia dengan membintangi filem remake My Sassy Girl versi Indonesia menjayakan watak utama bersama Jefri Nichol.
Prestasi yang dicapai Tiara Andini dalam tempoh dua tahun pertama ini secara tidak langsung meletakkan namanya sebagai selebriri serba boleh, sekali gus menjadi si bunga yang sedang kembang di tanah seberang.