KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membatalkan waran tangkap terhadap pegawai Jabatan Imigresen yang mendakwa diugut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah melibatkan dirinya tahun lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor memutuskan demikian bagi membenarkan permohonan dikemukakan peguam yang mewakili tertuduh supaya waran tangkap dikenakan terhadap anak guamnya itu ditarik balik.
Waran tangkap terhadap Muhammad Zahir Abdullah Shahaimi 30, sebelum ini dikeluarkan kerana dia didakwa tidak hadir pada perbicaraan di mahkamah yang ditetapkan semalam.
Mahkamah hari ini turut menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan kes tertuduh iaitu pada 21 Februari depan selain memerintahkan wang jaminan terhadap tertuduh kekal RM9,000 seperti yang diputuskan sebelum ini.
Akhbar semalam melaporkan, seorang pegawai Jabatan Imigresen mendakwa diugut oleh pegawai SPRM berkaitan tiga pertuduhan kes rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 1 April 2021 dan memohon dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Lelaki itu mendakwa, selepas peguamnya meninggal dunia, pada 2 Disember dan 3 Januari lalu, beberapa pegawai SPRM memaksa dia mengaku salah dengan menawarkan denda sebanyak RM5,000.-K! ONLINE