BANDAR QUEBEC, KANADA – Wilayah Quebec di Kanada akan mengenakan cukai kesihatan ke atas penduduk yang tidak mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.
Wilayah itu kini sedang bergelut dengan peningkatan dalam kes Covid-19, yang mencatatkan angka kematian tertinggi di Kanada.
Susulan itu, Ketua Menteri Francois Legault, mengumumkan bahawa individu yang belum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 perlu membayar ‘sumbangan’ kepada wilayah tersebut.
“Jumlah cukai tersebut masih belum diputuskan, namun ia berkemungkinan satu nilai yang tinggi.
“Bagi saya, pada masa ini, persoalannya adalah mengenai keadilan terhadap 90 peratus populasi wilayah ini yang telah melaksanakan tanggungjawab divaksin,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Menurut data, hanya kira-kira 12.8 peratus penduduk Quebec tidak menerima vaksinasi Covid-19, namun kadar itu menyumbang kepada hampir separuh daripada kes-kes di hospital.
Setakat 1 Januari lalu, lebih 85 peratus populasi wilayah tersebut telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin. – AGENSI