KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan risikan dan mengesan sindiket penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial(JSJK) Bukit Aman untuk berbuat demikian.
“Setakat ini, kita telah menjalankan siasatan dan mengenal pasti termasuk menahan seorang individu di Marang, Terengganu yang berkait dengan penawaran sijil vaksinasi palsu.
“Kita tidak pasti sama ada perkara sama berlaku di negeri lain, namun siasatan lanjut akan dilaksanakan,” katanya ketika sidang akhbar Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, perkara ini harus dipandang serius bagi memastikan usaha kerajaan mengawal wabak Covid-19 tidak dihalang oleh individu yang menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin yang palsu.
“Kita tidak mahu melihat langkah kerajaan dalam membendung wabak in terhalang dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din memaklumkan terdapat satu kes telah dikesan membabitkan penawaran sijil vaksinasi palsu setakat ini.
Difahamkan, suspek merupakan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun yang ditahan di Marang, Terengganu kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid 19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar. -K! ONLINE