fbpx

Trend unboxing pasangan: jangan jadi suami ‘dayus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video unboxing isteri yang menjadi trend dalam kalangan pengantin baharu di media sosial.

PUTRAJAYA – Tolong jauhi perbuatan itu kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip dan budaya Islam itu sendiri.

Itu teguran dibuat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri terhadap trend ‘unboxing pasangan’ atau ‘unboxing isteri’ yang kini menjadi ikutan dalam kalangan pasangan pengantin baharu ketika ini.

Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, Islam memerintah suami untuk menjaga kehormatan dan penampilan isteri masing-masing.

Menurutnya, suami sepatutnya melindungi dan memelihara ahli keluarga masing-masing daripada mendapat kemurkaan Allah SWT, di samping menyeru mereka untuk taat kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

“Saya turut menasihati semua agar meninggalkan segala budaya atau trend yang jelas tidak mencerminkan akhlak mahupun peribadi agama Islam itu sendiri.

Dr. Zulkifli.

“Selain itu, turut menjadi kebimbangan sekiranya budaya atau trend sebegini menjadi ikutan anak-anak muda sehingga akhirnya ia dianggap sebagai perkara biasa,” katanya.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan lagi ia akan mencetuskan kepada perkara yang lebih parah seperti mendedahkan aksi mesra yang keterlaluan, mendedahkan aurat dan lain-lain.

Zulkifli berkata, sepatutnya semua itu menjadi rahsia di antara suami isteri dan bukannya perlu dipertontonkan kepada orang lain.

“Hadith daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda, tiga golongan yang Allah SWT haramkan ke atas mereka daripada memasuki syurga, iaitu orang yang ketagihan arak, orang yang menderhakai ibu bapanya dan lelaki dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.

“Al-Munawi menyatakan bahawa ‘dayus’ dalam hadith itu bermaksud orang yang membiarkan kejahatan atau perbuatan keji dalam kalangan ahli keluarganya iaitu isteri dan kaum kerabat terdekatnya,” katanya.

Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memelihara kehormatan dan penampilan isteri mereka sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI