SIAPA sangka, fasa putus cinta yang memeritkan sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pakar terapi memungkinkan sebuah anugerah yang cukup bernilai.
Itu yang dirasai penyanyi juga komposer, Zamaera saat melancarkan buah tangan istimewa, Heart Break To Heal, baru-baru ini.
Katanya, segala emosi diluahkan secara terbuka sebagai cara melepaskan perasaan, sekali gus merungkai perjalanan kehidupannya untuk berdiri semula sebagai wanita yang lebih kuat, tegar dan bersemangat kental.
“Selepas putus cinta tahun lalu saya hanya berendam air mata.
“Ketika itu pula saya tidak tinggal dengan keluarga dan pada masa sama dalam proses akhir menyelesaikan hal perundangan membabitkan kontrak syarikat pengurusan terdahulu.
“Apabila banyak benda datang serentak emosi saya jadi tidak stabil tapi saya cuba lupakan dengan menghabiskan masa bersendirian dan bertemu kawan-kawan.
“Apabila semuanya tidak menjadi saya berjumpa pakar terapi bagi mendapatkan bantuan.
“Kemudian saya mencoret luahan yang terpendam di dalam sebuah buku.
“Dari situ tercetus ilham menghasilkan ‘mixtape’ Heart Break To Heal yang menggabungkan enam lagu berbahasa Inggeris dan empat dalam bahasa Melayu.
Belajar melepaskan
“Album ini adalah kronologi hidup saya meliputi cinta, kehilangan, pemulihan dan penemuan semula diri.
“Paling ketara lagu Jaga Diri yang kini menunjukkan saya dapat belajar melepaskan. sekali gus membuang amarah yang pernah terpendam,”
“Kini saya berdiri kembali sebagai wanita tabah yang semakin menyayangi diri sendiri.
“Kalau pendengar amati trek pertama iaitu interlude, ada bunyi tangisan saya yang kemudian berubah tenang sambil mengatakan kepada diri semuanya akan okey,” katanya usai melancarkan album berkenaan baru-baru ini.
Zamaera atau nama sebenarnya Sharifah Zamaera Syed Zafilen, 26, aktif menulis lagu sejak berusia 17 tahun. Dia pernah tampil dengan single berjudul Wanita (2017) dan kemudian dikenali menerusi lagu Helly Kelly.
Anak seni berbakat besar itu juga kerap diundang mengadakan persembahan MTV Asia serta di luar negara termasuk China dan Korea Selatan selain pernah merakamkan EP di Chicago, Amerika Syarikat.
Namun hajat meneroka pasaran global terbantut selepas timbul beberapa isu dalaman sehingga penyanyi itu mengambil keputusan ‘angkat kaki’ daripada syarikat pengurusannya.
“Itu jawapan kepada persoalan mengapa saya menyepi daripada menghasilkan single mahu pun album sejak dua tahun lalu.
“Sekarang, semuanya dalam kes undang-undang. Hakikat, kes itu membabitkan kos dan masa yang panjang.
Cita rasa
“Sejujurnya pengalaman ini turut menjadi pembakar semangat untuk saya membantu rakan seperjuangan atau bakat baharu lain supaya membaca dan memahami terma kontrak dengan jelas bagi mengelakkan sebarang perkara berbangkit.
“Ramai minta pendapat dalam isu kontrak. Saya akan bantu sebaik mungkin. Apa pun, secara tidak langsung ini sebagai peringatan kepada saya untuk mengukuhkan nama di Asia Tenggara dahulu biar berhajat mendominasi pasaran lebih jauh,” katanya.
Berkongsi lagi mengenai penerbitan album baharunya, Zamaera mengakui mengambil masa lapan bulan bagi menyempurnakan projek tersebut supaya bertepatan cita rasanya bermula dengan fasa menulis lagu disusuli kerja rakaman dan adunan muzik.
“Semuanya bermula April lalu, saya bersama produser Ming-A-Ling merakamkan album ini, paling unik buat pertama kali semua rentak yang melatari penulisan lagu saya peroleh di pasaran produksi digital.
“Dalam era pandemik ketika itu proses pengumpulan bahan perlu dilakukan hanya dalam talian dan menariknya sembilan daripada 11 lagu adalah daripada produser muzik antarabangsa, LouXtwo yang pernah bekerja dengan Chris Brown, Bad Bunny, Tory Lanez dan ramai lagi,” katanya.
Memasang impian mengadakan persembahan bergerak, anak jati Subang Jaya yang juga sepupu kepada Altimet itu turut berharap dapat merealisasikan projek kolaborasi dengan penyanyi rap wanita lain seperti Sophia Liana, Yunohoo, Kayda atau Bunga.