PUTRAJAYA – “Tak patut berlaku terutama nak ke tempat suci,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang menyelar tindakan seorang mutawwif didakwa membawa jemaah tidak divaksin menunaikan umrah.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan sedemikian yang didakwa dilakukan individu tersebut sedangkan syarat untuk menunaikan ibadah umrah adalah perlu mengambil vaksin.
“Keduanya, macam mana benda itu mereka boleh lepas ke sana dan saya harap mereka yang bertanggungjawab kena siasat bagaimana boleh terbolos ke sana. Mungkin (tindakan) kita boleh panggil dia bersembang dan tanya kenapa jadi macam itu.
“Walaupun bidang kuasa tindakan bukan di bawah kita dan dari segi undang-undang pihak lain bertanggungjawab, jadi nak minta berjumpa pasal apa buat begitu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis serahan sumbangan mangsa banjir dalam kalangan pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama di sini.- K! ONLINE