PERHATIAN netizen tertumpu kepada penyanyi Somyi daripada kumpulan DIA apabila kini bergelar seorang ‘broadcast jockey’ atau BJ untuk sebuah saluran hiburan, PandaTV yang menghasilkan kandungan dewasa.
Terma BJ di Korea Selatan bermaksud, seseorang yang melakukan siaran langsung dan akan melakukan apa sahaja termasuk aksi ghairah demi menarik perhatian penonton supaya kekal menonton kandungan dalam saluran mereka.
Disebabkan pembabitannya dalam PandaTV yang terkenal sebagai saluran kandungan orang dewasa, Somyi harus menerima hakikat apabila kontrak ditamatkan serta-merta.
Perkara tersebut dimaklumkan agensi naungan DIA, Pocketdol Studio yang memberitahu kepada Herald Pop bahawa kontrak eksklusif Somyi sudah ditamatkan.
Dilahirkan pada tahun 2000, Somyi yang kini berusia 22 tahun menyertai DIA pada April 2017.
Dia memulakan debut bersama kumpulan itu menerusi album penuh kedua DIA berjudul YOLO.
Bagaimanapun, dia dikecualikan daripada terlibat dengan aktiviti rasmi kumpulan itu sejak Jun 2020.