AUSTIN, TEXAS – Seorang pemandu aplikasi penghantaran makanan Uber Eats di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS) berjaya menyentuh hati pelanggannya atas keprihatinan yang dia tunjukkan, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.
Pelanggan tersebut, Tracy Ramirez berkata, dia menerima pesanan makanannya bersama sekeping nota mengandungi sajak tulisan tangan beserta beg cenderahati berisi gula-gula dan pelitup muka.
Ramirez yang berasakan perbuatan itu sangat bermakna cuba mencari pemandu itu untuk memberikan tips dengan memuat naik video di laman TikTok.
“Pemandu Uber Eats ini bukan sekadar menghantar makanan tetapi lebih daripada itu,” tulisnya pada keterangan video tersebut.
Tidak cukup dengan itu, wanita tersebut turut berjaya mengumpul tips daripada pengikut laman sosialnya berjumlah AS$2,000 (RM8,388) buat pemandu Uber Eats yang dikenali sebagai Donald itu.
Ramirez berjaya menjejaki Donald tidak lama selepas itu dan menyerahkan tips yang dikumpul sambil mengatakan lelaki itu layak menerima wang tersebut atas keprihatinannya dalam menjaga perkhidmatan pelanggan. – Agensi