BANGKOK – Kekurangan bekalan cip dunia dijangka berterusan sepanjang tahun ini, kata pakar-pakar seperti laporan laman berita The Nation Thailand semalam.
Bekalan terhad, kata pakar-pakar, menjadi punca permintaan pembuat dan penyedia perkhidmatan digital gagal dipenuhi ketika kepesatan transformasi berlaku disebabkan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, kekurangan bekalan pada tahun ini diramal tidak seteruk seperti pada 2020 dan 2021 yang menyaksikan rangkaian bekalan lumpuh, manakala masalah kali ini juga tidak melibatkan semua jenis cip.
“Krisis Covid-19 berterusan memacu adaptasi manusia kepada teknologi dan meningkatkan tahap kesalinghubungan menerusi dunia digital,” kata ketua industri telekomunikasi, media dan teknologi global firma Deloitte, Ariana Bucaille.
“Terdapat permintaan amat besar untuk cip ketika lebih banyak produk berhubung secara digital dan menjadi nadi kepada pelbagai jenis barangan seperti telefon dan kenderaan pintar.
“Kesalinghubungan ini akan berkembang bersama teknologi baharu seperti 5G yang akan memacu transformasi digital dalam semua industri dan perniagaan seperti yang kita sedang saksikan sekarang,” katanya.
Laporan Deloitte menyatakan, pengguna pada pertengahan tahun 2021 terpaksa menunggu antara 20 hingga 52 minggu untuk pelbagai jenis semikonduktor. Situasi tersebut menyebabkan sektor pengilangan tergendala atau terpaksa ditutup yang membawa kepada kehilangan hasil pendapatan mencecah beratus-ratus bilion dolar.
Menjelang akhir tahun, ini tempoh menunggu itu akan berkurang kepada 10 hingga 20 minggu dengan industri pengeluaran cip dijangka pulih semula menjelang awal 2023, demikian menurut ramalan Deloitte.
Ketika kekurangan bekalan cip berterusan, banyak syarikat semikonduktor meningkatkan usaha untuk membina kapasiti pengeluaran baharu. Pada September tahun lalu, pembuat cip Jerman, Infineon Technologies AG membuka kilang berteknologi tingginya di Austria.
Pelaburan berjumlah AS$1.81 bilion (RM7.59 bilion) oleh kumpulan pengeluar semikonduktor itu adalah antara yang terbesar seumpamanya dalam sektor mikro elektronik di Eropah.
Bagaimanapun, kemunculan semula gelombang jangkitan Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan situasi menjadi semakin tidak menentu. Letusan wabak koronavirus di Xian, wilayah Shaanxi telah menjejaskan pengeluaran cip memori komputer oleh gergasi pengeluar cip Amerika Syarikat, Micron Technology Inc.
Micron mempunyai kilang ujian dan pembungkusan cip di bandar Xian.
Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung Electronics Co Ltd pula menyatakan, kilang cip miliknya masih beroperasi di Xi’an tetapi pihaknya melakukan ‘penyesuaian operasi ’ berikutan pelaksanaan perintah berkurung Covid-19 di bandar itu.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan komitmen kami untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja dan rakan kongsi kami,” kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan. – Agensi